Sunday, December 19, 2010

Sekarang kena peka pada kesihatan

Aku dah lama tak update blog ini. Bukan apa, aku sibuk sikit dengan hal famili dan juga rumah. Hari selasa lepas, abah aku telah pun meninggalkan kami sekeluarga untuk selama-lamanya. 


Dia pergi dengan tenang. Dia seolah-olah tidur sahaja dan aku rasa bersyukur aku dapat bersama dia dikala dia menghembuskan nafas terakhirnya. Begitu juga dengan adik beradik ku yang lain. Yang tidak ada masa tu ialah kedua-dua abang aku. Mungkin bukan rezeki mereka untuk bersama dengan abah.


Dah hampir seminggu abah pergi dan perjalanan harian kami hampir normal dah. Kalau sebelum ini, setiap dua tiga hari aku akan melawat abah aku tapi kali ini tiada lagi. Sekarang giliran menjaga mak pula. Dia pun kurang sihat tapi memandangkan abah kritikal pada masa tu, kami tumpukan pada abah tapi mak kami masih tidak abaikan.


Aku risau juga dengan keadaan mak aku sekarang ni. Nampak lemah dan tidak ada selera makan. Harap-harap dia pulih lah segera sebab kalau tak susah juga nak rawat kanser payudaranya.


Bercakap pasal kanser, aku dan adik beradik aku sekarang ni dalam golongan berisiko tinggi. Kami kenalah buat mammogram dan pemeriksaan kesihatan setahun sekali. Pada yang lain, terutama yang sudah berumur lebih 40 tahun ke atas, pergilah buat pemeriksaan. Jangan terlambat. Jika tidak mampu ke hospital swasta, pergilah ke klinik kerajaan. Kita kenalah peka pada kesihatan kita. Kalau bukan kita siapa lagi.


Okaylah..aku chao dulu. Sebelum tu, doakan agar Allah tempatkan abah aku di di dalam golongan orang-orang yang beriman dan sedekahkan lah al-Fatihah.


Sekian...salam.

Wednesday, December 8, 2010

Tahun ini aku relax sikit....

Hari ini aku balik kerja selepas dua hari cuti dan seperti biasa berlambaklah email nak kena jawab. Nasib baik kali ini tiada email cepu emas, kalau tak masak lah nak menjawab.Apa yang aku lihat kalau dah hujung tahun semua orang dalam holiday mood. Masing-masing fikir nak pergi cuti terutama daripada cuti Krismas hinggalah Tahun Baru.


Dalam orang sibuk merancang cuti, ada sekumpulan yang akan bekerja keras menyiapkan projek sebelum hujung tahun. Al maklumlah, kalau tak siap habis lah budget. Di sebabkan golongan ini, team aku kenalah kerja minggu terakhir itu untuk memastikan segala PO di terima dan di proses tapi kali ini aku nak tengok macam  mana dia orang handle. Tahun sudah, orang balik menyambut tahun baru aku duduk kat office memastikan semua okay. Huh! tak kuasa aku melalui benda yang sama tahun ini.


Memandangkan Disember hanya tinggal 3 minggu lagi, aku rasa tahun ini agak slow sikit untuk aku. Serba serbi slow. Kerja slow, bukan aku yang slow, sebab kerja yang aku handle sekarang ni kurang mencabar. Setelah 12 tahun buat operasi yang mana aku sentiasa on call, tahun ini, phone aku senyap sekali. 


Adakah aku rasa syukur? Memang aku bersyukur sebab dapat meluangkan banyak masa dengan keluar tapi pada masa yang sama aku rindu untuk bersama-sama rakan aku di syarikat biru itu. Mereka tu sampai makan pun tak ada masa. Kesian mereka tu. Aku kena buat appointment kalau nak ajak dia orang pergi makan. 


Okaylah..sebenarnya aku bosan jadi aku tulis lah cerita ni..Kalau kawan-kawan biru aku baca aku harap dia orang slow down lah sikit tahun depan. Kesihatan kena jaga. Kalau bukan kita yang menjaga diri kita siapa lagi. Okay..aku balik dulu..Chao...Salam.

Thursday, December 2, 2010

Cepatnya masa berlalu....

 Eh! Cepat betul masa berlalu. Pejam celik pejam celik dah bulan Disember. Kemana perginya masa sebelas bulan yang lalu aku pun tak tahu. Wow! Apakah aku berjaya dengan apa yang aku janji dengan diri aku pada awal tahun?


Heh! Tak semua kot. Yang pasti aku masih tak kurus-kurus. Apa yang berlaku sebaliknya. Naik lagi adalah badan aku. Macam mana agaknya nak kurus semula? Satu cabaran yang akan aku terus usahakan sampai berjaya.


Kalau hasrat aku nak menguruskan badan gagal, tapi aku telah berjaya mencapai sekurang-kurangnya dua dari tiga 'new year resolution aku'. Not badkan!.


Pertama, aku mula menulis.Aku dah bosan dengan kerja aku yang baca kontrak aje jadi aku cubalah menulis. Mula-mula aku tulis kat blog  www.zairahman.blogspot.com, kemudian aku cuba tulis cerita fiksyen dan terhasil lah Dendam Bukit Putus. Penuh dugaan dan cabaran yang aku lalui bila menulis cerita ni. Kalau nak tau, sila ke http://zairahman.blogspot.com/2010/11/weird-things-that-happened-to-me-when-i.html dan seterusnya aku ada beberapa lagi cerita 'in the pipeline'lah. Tapi aku tulis untuk suka-suka aje. 


Yang kedua, setelah bertahun-tahun aku kerja tak kira masa, tahun ini aku telah berjanji dengan diri aku dan juga anak-anak aku yang aku akan keluar office sebelum pukul 6.30 petang. Adakah aku berjaya sepenuhnya keluar sebelum 6.30 petang? Hmmm boleh dikatakan ya hanya sekali sekala aja aku kerja melepasai target aku.Yang pasti tahun ini aku tak lah stress gila macam tahun-tahun sebelumnya. Dapatlah aku meluangkan masa bersama anak-anak di sebelah malam.


Tahun ini juga dua berita kurang baik berlaku dalam keluarga ku. Abah dan mak aku, kedua-duanya kena kanser. Keadaan abah aku dalam keadaan kritikal  dan pada masa ini dia masih di hospital. Mak aku pula, masih di tahap awal. Doakanlah bersama agar penderitaan abah aku diringankan dan mak aku pula sembuh dari kansernya..Amen!!!


Sekian..chao dulu..salam.





Friday, November 26, 2010

Akhirnya, mentol ku hidup semula...

Entahlah sejak akhir-akhir ini aku rasa slow sikit. Bukan sikit, slow banyak. Mungkin sebab banyak kerja sampai aku tak ada masa nak fikir atau memerhatikan keadaan sekitar untuk aku blog.  Mungkin juga ubat yang aku makan menyebabkan aku rasa mengantuk dan lembap.


Di sebabkan aku slow, aku rasa macam ada mental block untuk aku menjadi kreatif. Yalah aku kan kat office dah unofficially di gelar CLO - Chief Letter Officer, jadi orang ingat bagi je issue aku akan jadi kreatif untuk mengarang surat cinta. Tapi dia orang tak tahu, kekreatifan aku ini akan datang pada sebelah petang. Lagi lewat petang lagi laju idea datang.


Itu sebab pagi aku lebih suka baca email. Kalau kena email soalan cepu emas, aku simpan dulu. Bila lampu mentol dah menyala sebelah petang baru aku jawab. Selalunya soalan cepu emas ni, kena bertapa dulu baru boleh jawab. Salah jawab karang masak di buatnya.


Di sebabkan aku slow, aku dah beberapa hari tersangkut dalam menulis cerita fantasi aku. Jadi masa makan malam tadi dengan anak-anak, aku ajaklah dia orang berbincang. Mana tahu dia orang boleh selesaikan kebuntuan aku untuk menulis cerita tu. Tak sia-sia aku. Dia orang walaupun bagi idea yang karut-karut, akhirnya satu idea itu telah berjaya memasang mentol kat kepala aku ni. Taklah terang tapi cukuplah untuk aku meneruskan perjalanan.


Budak-budak aku rasa adalah satu sumber yang bagus untuk mendapat idea. Bagi aku, aku suka bawa anak-anak aku berbincang. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu mereka dalam komunikasi dan yang paling penting mereka menggunakan otak untuk berfikir dan kreatif dalam memberikan pandangan.


Aku juga berprinsip "No idea is bad idea". Jadi semua idea  boleh di buat cerita. Yang penting jangan jadi seperti perpatah berikut:"Hangat-hangat tahi ayam." 


Okay aku chao dulu sebelum mentol aku malap semula. Salam...

Saturday, November 20, 2010

Gembira hatiku dengan kemajuan mereka

Hari ini aku pergi sekolah tadika anak-anak aku. Si abang umur 6 tahun dan si adik 4 tahun. Aku pergi seorang senang nak berbincang dengan cikgu mereka. Sampai aje kat sekolah, tak ramai lagi ibu bapa. Al maklumlah setengah dah ambil hari Jumaat.


Masuk-masuk aku terus duduk kat kerusi comel tu. Takut juga aku kalau kerusi itu patah. Aku ni bukan comel lote. Besar macam badang adalah. Nasib baik cikgu mereka duduk sebelah menyebelah. Tak payah aku bangun. Aku sebenarnya tak adalah mengharapan keputusan yang cemerlang dari mereka.Tapi mungkin aku punya expectation tu tak tinggi maka keputusan mereka bagi aku amat memberangsangkan.


Anak lelaki aku yang umur 6 tahun, banyak nampak kemajuannya. Dia masuk masa umur 5 tahun. Huh tension aku masa tu. Berperang nak pergi sekolah. Dia stress aku pun stress. Tapi dah setahun kat sekolah tu, dia nampak banyak confidence. Tak takut-takut dan malu. Pelajaran dia juga meningkat. Aku risau juga sebab dulu dia tak pandai membaca tapi alhamdulillah sekarang dah laju membaca. Begitu juga mengeja. Englishpun maju. Keputusan English lagi bagus dari Bahasa tapi bila membaca Bahasa lagi bagus dari English. Tak tau aku macam mana dia jawab soalan.


Oh ya! Dia juga dapat tali pinggang kuning untuk Akido dia. Sayang aku kalau dia berhenti dari akido ni. Mungkin aku cari tempat baru untu dia belajar. Tapi aku kena tanyalah dia minat lagi tak. Tak minat tak guna juga.


Anak perempuan aku, aku tak adalah focus sangat masa dia sekolah. Ala hai baru umur empat tahun jadi aku biarkan dia sendirian. Tanpa ku sangka, dia berjaya juga dalam pelajarannya. Tak hampalah aku. Dapat nombor 3 lagi dia dalam kelasnya. Walau bagaimana pun, dia masih banyak nak kena belajar. Tahun depan mungkin aku kena beri fokus lebih sedikit. Mana tahu dia lagi excellent kalau aku beri perhatian.


Sekolah mereka berdua ini bagus. Cuti dah start tapi dia orang masih sekolah sampai 5hb Disember. Bukan belajar pun tapi sedia untuk konsert. Aku tengok anak lelaki aku rajin juga belajar menari tapi se adik ini, aku tak pernah pun tengok dia berlatih. Adakah dia akan berjaya masa konsert nanti. Wallahualam...


Okay..ini saja celoteh aku..tak ada apa pun..sekian. Wassalam.

Tuesday, November 16, 2010

Sedihnya aku

Semalam aku pergi melawat abah aku kat Hospital Putrajaya. Keadaan ayah aku ini sudah kritikal dan dia masuk sebab nak mengeluarkan air dari perut dia. 


Aku keluar pejabat tepat pada waktunya tetapi disebabkan banjir kilat yang berlaku kat KL semalam, aku lewat sampai. Aku sampai pukul 7.30 malam. Sesampai aku kat sana, aku nampak adik dan mak aku sahaja yang ada. Bila aku tanya adik aku, dia jawab memang dia tak cakap kat semua orang sebab ini dah macam rutin pulak. Bilik pun di bilik dan wad yang sama.


Bila aku masuk, aku tengok ayah aku masam aje. Tidak seperti selalunya dia ceria bila nampak kami. Keadaan fizikal dia pun dah lemah, Badannya kurus dan yang besar hanya perutnya. Aku tengoh ada dua orang student nurse tengah mengambil tekanan darahnya. Lama juga lah mereka nak dapatkan tekanan darah abah aku. Abah aku cakap penat dan tak dapat tidur sebab ramai yang datang mengambil melawat dan mengambil bacaan yang perlu. Kesian aku tengok dia.


Sebab mungkin dia penat, dia moody. Aku pun kena sebijik dengan dia bila aku nak tolong picitkan kakinya. Sakit katanya. Adik-adik aku rupanya sudah kena dari hari Jumaat lagi. Semua tak kena. Adik bongsu aku yang boleh dikatakan yang rajin melayan kerenah ayah aku pun takut. Dia kata dia kena pagi semalam semasa menghantar makanan pagi pada abah dan mak aku.


Aku terdiam bila mendengar kata kata adik aku. Abah aku tak pernah marah kita orang. Tinggikan suara pun tak ada. Tiba-tiba bila dia buat macam ni, rasa takut dan sayu juga ada. Mungkin masanya sudah hampir. Apa yang aku boleh lakukan ialah berdoa agar Allah ringankan penderitaannya dan membaca Surah Yaasin.


"Ya Allah. Ringankan lah penderitaan ayah ku dan sihatkan ibuku." Amen.



Wednesday, November 10, 2010

Si manja ku wangi!

Hari ini dalam Mega, Utusan Malaysia, ada rencana pasal binatang peliharaan kesayangan kita. Satu artikel pasal spa untuk kuching dan lagi satu hotel enam bintang untuk haiwan.

Phew! Bijak betul sesiapa yang bukan bisnes ni. Yalah sekarang ni memang orang tak ada masa kan nak memandikan, menyampu, mengeringkan badan si manjanya. Almaklumlah masing masing sibuk. Jadi untuk memastikan kuching kesayangan tu dalam tip top, wangi dan boleh di belai dan dipeluk, spa tu adalah satu alternatif yang paling baik.

Aku baca kat artikel tu, bayaran minima untuk spa kuching ialah RM30.00. Dengan bayaran itu, kuching tu akan di layan macam kita pergi spa. Aku tengok gambar dalam artikel tu, si manja, kukunya di buang, badan di berus dengan berus bila mandi dan disyampupukan, bulu di sikat dan dikeringkan dengan hair dryer. Best tul. Dalam artikel tu juga ada sebut kuching tu akan di letak ubat kutu agar kuching tu tak ada kutu. WOW!!! Bersih, wangi dan segar si manjakan.Kita, sebagai tuan punya, hanya perlu menyediakan duit aja.

Kalau kita nak gi jalan, tak payah nak cari sapa nak jaga si manja kita. Sekarang ni dah ada Animal Hotel. Hotel ini bertaraf enam bintang pula tu. Hotel ini kat KLIA jadi sebelum kita check-in kat airport, check-in si manja dulu. Beres di jaga. Yang penting, sediakan duit aja.. 

Kalau di fikir-fikirkan bertuah betulkan binatang sekarang ni. Di manjakan dan di belai. Aku harap anak-anak juga di jaga seperti mana kita jaga binatang kesayangan kita. Anak-anak lagi lebih memerlukan belaian kasih sayang dan bimbingan dari kedua ibu-bapa mereka. Kata orang, anak-anak akan memimik apa yang kita lakukan. Kalau kita kasar, dia pun kasar dan jika kita abusive, maka kemungkinan dia juga menjadi seorang yang abusive. Jadi elakkan dari berkelakuan begitu. Jadilah satu negara dan warga yang aman dan bahagia.


Sunday, November 7, 2010

Minggu yang penuh dengan kesibukkan...

Aku memang busy betul sejak akhir-akhir ini. Baik kerja office mau pun hal peribadi. Daripada hari Isnin hari itu, aku sibuk mencari data-data yang diminta oleh Maharani. Nasib baiklah dapat. Lepas tu, kena lah buat analisanya sebelum dihantar kepada dia.

Pada hari Isnin tu juga, aku dah mula bersin-bersin dan soksek soksek kena selsema. Apa lagi hari Selasa MCla. Sehari tak datang kerja, maknanya bertambahlah kerja aku. Alhamdulillah pada hari Rabu itu, dalam pening-pening lalat (disebabkan makan ubat) aku dapat juga menyiapkan kerja tu, tapi biasalah ada lagi yang diminta. Tak cukup eh!.

Pada hari Khamis pula, ingatkan aku dah okay tapi lagi teruk. Selsema aku kurang tapi aku rasa pening sepanjang hari. Bila aku jalan, aku rasa macam diawang-awangan. Terhuyung hayang badan aku. Mata aku pun nampak macam layu aje. Bila boss aku panggil meeting, dia pun komen macam aku ni high on drug. Aku jawab tak tau lah tapi aku rasa tak sihat. Nasib baik tak ada problem masa bawa kereta. Malam tu pula, walaupun tak sihat, keluar juga sebab anak jejaka aku perlukan laptop untuk buat homework dia. Bukan main gembira dia dapat laptop baru. Ya lah, macam mana pun, mak dan ayah akan cuba penuhkan permintaan sianak. Tapi dapatkah sianak buat macam tu pada kedua orang tuanya? Susahkan..

Hari Jumaat aku dah rasa sihat sikit tapi hubby aku telah mengheret aku keliling kota mencari barang untuk rumah kami. Keluar pagi,petang baru balik. Sabtu macam tu juga sampai tak sempat makan tengahari. Nasib baik deman atau selsema aku tak teruk.

Hari Ahad baru lah aku dapat duduk rumah. Hari ini hanya anak perempuan aku ada kelas musik jadi tengahari dapatlah aku masak. Bukan masak best pun. Sambal sardine dan telur dadar. Selera budak-budak ni makan. Al maklumlah si ibu dah lama tak masak. Bukan aje budak-budak dapat bersama ibu tercinta, aku pun dapat bersama-sama dia orang. Quality time with them.

Bagi aku, walaupun aku sibuk, aku akan tetap melapangkan masa untuk mereka. Walau macam mana penat pun, aku akan duduk bersama mereka dan bersama membantu mengulang kaji dan bertanya hal mereka. Aku rasa itu penting agar mereka tidak terasa terbiar dan dapat juga aku memantau aktiviti-aktiviti mereka. Mereka tahu, ibu sibuk untuk masa depan mereka juga dan walau apapun berlaku, ibu tetap sayang pada mereka...

Monday, November 1, 2010

Pening kepala aku hari ini .....

Hari ini aku betul-betul busy tapi aku masih boleh masuk ke alam siber melawat kawan-kawan aku. Aku kalau buat kerja memang begitu. Tak boleh focus satu benda aje. Aku multitasking. Aku busy bukannya apa. Pagi ini aku dapat satu e-mel dari maharani yang ditujukan pada bebarapa orang tapi e-mel tu khas di tujukan pada Y and Z. Z tu akulah.

Kalau maharani hantar e-mel, maknanya soalan cepu emas. Nak jawab kena fikir betul betul, kena baca kitab dulu. Dah baca masih belum boleh jawab soalan cepu emas tu, aku kena rujuk pulak ke mahaguru. Lepas mahaguru terangkan barulah aku nampak seterang-terangnya macam mana nak jawab soalan cepu emas tu.

Jadi aku bukalah emel aku, tulis sikit, aku padam. Tulis lagi aku padam. Aku masih tak dapat nak buat karangan yang akan mudah difahami oleh maharani. Maklumlah kalau dia faham bahasa aku, bolehlah terangkan dengan sejelas-jelas tetapi dia kurang penguasaan bahasa aku. Sampai pukul 7 malam masih belum dapat mengolah dengan baiknya jadi aku lupakan hasrat aku nak menjawab maharani.

Bila aku angkat muka aku, aku tengok keliling aku kosong. Yang ada sekumpulan mutiara hitam yang langsung tidak faham bahasa aku. Aku tengok jam dah pukul 7 malam. Patutlah tak ada member aku lagi. Aku pun tutup emel aku dan pack komputer aku.

Baru aku melangkah turun tangga pejabat, tiba-tiba macam-macam idea datang macam mana nak jawab solan cepu emas itu tapi aku dah jalan menuju ke kereta. Aku tak kuasa nak patah balik. Sambil aku berjalan ke kereta, aku terpikir alangkah baik kalau aku tahu bahasa maharani aku atau menguasai satu atau dua lagi bahasa.

Yang aku tahu bahasa utama kita dan juga bahasa Inggeris. Dulu aku adalah ambil bahasa Sepanyol. Aku belajar setakat nak lepas ujian. Memang luluspun dengan jayanya. Sebab tu aku tak berapa ingat apa yang aku belajar. Yang masih aku ingat ialah "Como se yama?", "Adonde eres tu?", "Vamos", "Uno Dos Tres, Quatro.." Rasanya kalau aku pergi Sepanyol atau negara Latin Amerika bolehlah berkomunikasi sikit-sikit.

Bila aku tengok pula anak-anak aku, hmmm, mereka tahu satu bahasa aje. Suruh cakap bahasa Inggeris bukan main susah. Macam ada emas dalam mulut dia orang. Aku kena galakkan dia orang ni bercakap dalam bahasa Inggeris. Bukan apa, ada kelebihan kalau kita dapat menguasai lebih dari satu bahasa ini. Kalau tahu lebih dari dua lagi bagus...Hmmm..bahasa apa pula aku nak belajar ni? Korea?Jepun? Apa kata bahasa Arab!

Jadi aku syorkan ambillah peluang menguasai lebih dari satu bahasa sebabnya ia akan memberi kita kelebihan terutama masa bekerja. Betul tak? Fikirlah ya..sementara itu aku chao dulu..Salam...

Wednesday, October 27, 2010

Marilah membaca

Jam menunjukkan pukul 2 petang. Aku baru balik dari makan tengahari dekat Kelantan Delight. Best makan kat situ. Nasi kukus dengan air durian belanda. Punyala sedap. Sekarang ni aku mengantuk gila.

Sambil menulis ini, mata aku rasa berat sangat. Dahlah cuaca diluar redup aje,lagi tambah mengantuk, tapi aku tak boleh tidur. Aku ada meeting pukul 3 petang nanti. Tak tau lah apa yang nak dibincangkan. Aku tunjuk aje slide aku. Harap-harap dia orang senyapla.

Aku rasa aku ngantuk sebab letih. Dua malam berturut-turut aku tidur lambat. Pukul 1 pagi aku baru tidur bukan buat kerja pun tapi mata ni tak nak tidur. Selalunya bila aku tak boleh tidur, aku akan keluarkan lah lappy kesayangan aku dan godeklah ke internet. Kadanng-kadang melawat kawan alam siber, kadang-kadang baca buku cerita.

Bercakap pasal membaca ni, aku memang terkenal lah dikalangan keluarga aku sebgai kaki membaca. Kemana aku pergi, ada saja buku cerita yang aku bawa. Bukan apa, bila jam lama sikit boleh lah membaca dulu. Walaupun aku suka membaca dan rajin membeli buku untuk aku dan anak-anak aku, aku tengok, anak lelaki aku semua kurang suka membaca. Kenapa agaknya ya? Buku pilihan dia orang. Aku rasa, kalau kurang membaca susah nak buat karangan sebab kreativiti tak ada. Macam mana nak galakkan dia orang membaca ni?

Aku taknak lah umpan dia orang dengan hadiah. Habis baca dapat hadiah. Eish! Aku rasa konsep tu salah. Nanti sampai dia tua dia nak hadiah atau upah bila buat sesuatu. Susahkan kalau didik anak macam tu. Jadi apakah cara terbaik untuk mengalakkan anak-anak membaca?


Sunday, October 24, 2010

Bila Hujan Turun....

Minggu lepas aku complaint pasal hari panas dan hari ini hujan pun turun dengan lebatnya. Entahlah mungkin complain banyak kot, jadi petang semalam, hujan lebat. Malam tadi hujan juga tapi tak lah lebat dan pagi ini dalam pukul 8 lebih, hujan pun turun dengan lebatnya.

Anak sulung aku ada kelas tuisyen. Dia pergi dengan kawannya. Apa lagi budak lelaki di redahnya hujan walaupun hujan turun mencurah-curah. Tak macho agaknya kalau pakai payung. Pukul 9.10, aku pun keluar dengan my little girl naik kereta menuju kearah Bangi. Sepanjang perjalanan hujan lebat.

Tapi alhamdulillah lah, bila kelas habis, hujan pun berhenti. Aku sampai rumah, terus lah sidai kain yang dah siap dalam washing machine. Walaupun hujan dah berhenti, matahari keluar samar-samar. Hari masih mendung. Aku harap panas berpanjangan lah agar kain ku kering.

Aku suka juga kalau hari hujan terutama kalau sebelah petang. Hari akan sejuk, pokok-pokok, rumput-rumput dan semua kehidupan menari kegembiraan kerana dapat minum dan mandi. Jadi kalau hujan pada petang hari dan hujung minggu, aku tak lepaskan peluang untuk tidur. Recharge battery setelah penat bekerja. Bila hari hujan aku selalunya tak pasang air cond. Kurangkan penggunaan letrik.

Tapi aku teringat masa aku kecil-kecil dulu bila hujan petang, mak aku akan buat kuih kodok cicah dengan chili sos. Air pulak air kopi 'O'. Bestnya..Kami sekeluarga berkumpul dekat meja makan dan bercerita. Mak dan ayah aku sabar melayan kerenah kami. Aku rasa nak aje putar balik pergi ke waktu itu tapi apa kan daya. Yang tinggal hanya kenangan sahaja...

Okaylah..sebelum aku malalut seterusnya, aku chao dulu. Aku ucapkan selamat berehat..Salam.

Friday, October 22, 2010

Meluntur Buluh Biar Dari Rebungnya

Hari ini, aku sibuk. Dari masuk office sampailah nak balik, aku masih lagi sibuk. Apa taknya bila buka email, surat dari big bos sudah menunggu minta sesuatu. Apalagi hari ini pulunlah cari data. Pukul enam baru habis. Phew..lega tapi aku masih lagi kena bawak balik ke rumah kerja minggu ni. Aku selalunya cuba elakkan bawa balik kerja. Bawa balik komputer takpa sebab aku nak mengekses twitter dan facebook aku.

Dulu masa aku mula kerja dengan syarikat ni, hari-hari aku balik lewat. Maklumlah umur muda, tenaga banyak, ideapun masih banyak. Sekarang ni, kalau boleh nak relax aje kat office.Walaupun aku relax, aku tetap habiskan kerja sebelum balik. Aku balik selalunya 6.30pm. Nilah gara-gara dah biasa balik malam, tak reti aku nak balik awal. Kalau balik awal macam ada yang tak kena.

Bila dah tua ni,aku rasa baik aku habiskan masa dengan anak-anak. Aku taknak tiba-tiba anak aku dah besar, Rasa rugi tak dapat bersama mereka, melihat telatah dia orang yang sedang membesar ni. Heh! Kadang-kadang aku gelak sendiri bila tengok dia orang bergurau dan kadang-kadang aku geram kalau dah mula mengadu.

Aku jenis yang relax. Jadi aku tak kisah dia orang nak main ke, bergusti ke asal jangan nangis. Bila tiba masa belajar, mesti belajar. Jangan nak ngelat. Ada benda aku tak kisah dan ada benda aku very particular. Aku very particular kalau homework tak siap, kalau time belajar tak duduk belajar sebab masa itu lah aku akan duduk sama dia orang. Go thru dengan dia orang apa yang dia orang tak faham. Sembahyang lagi satu. Jangan nak ngelat. Memang kena.

Masa kecil lah kita kena didik anak. Bak kata perpatah melayu, "Meluntur buluh biar dari rebungnya" dan juga mak aku selalu cakap, "Anak bak kain putih. Apa yang kita corakkan itulah yang dia jadi." Berpegang pada pepatah itu dan juga pesanan mak aku, aku cuba didik anak aku sebaik-baiknya. Aku taklah nak dia orang tu brilliant tapi kurang budi bahasa. Biarlah semua nya serata, pandai belajar dan agama, berbudi bahasa, sayang menyayangi dan tolong menolong.

Apa kata korang? Ada apa-apa yang aku tertinggal tak? Sharelah pendapat korang kat sini...

Thursday, October 21, 2010

Bestnya Hari Ini...

Heh! Hari ini aku relax sikit. Tak stress macam semalam yang jam sana-sini. Hari ini semua okay. Highway macam-macam tau aje aku complaint semalam, jadi hari ini dia bagi aku jalan clear. Except adalah satu manusia yang bawak kereta baru dengan perlahannya duduk di lane laju.

Tapi sebab mood aku baik, aku biar ajelah dia hinggalah dia sedar yang aku mengekori dia agak dekat. Pastu cuaca pagi ini pun mendung, sejuk walaupun berjerebu sikit. Takpa lah asalkan aku tak rasa panas.

Kat office pun, hari ini email aku pun tak banyak. Email aku clear sebelum 10.30pagi, pastu aku boleh conclude kes lama dalam 10 minit. Perrrggghhh. Fantastik aku hari ini. Sedang aku sibuk melayar alam maya, kawan aku called ajak aku attend talk on security and facebook.

Aku dengan berat langkah bangun menuju kearah bilik presentation tu. Ingatkan boring tapi jangkaan aku jauh meleset. Aku enjoy dengar presentation tu sebab ianya amatlah berguna untuk aku dan kita semua. Apa mamat tu cakap,yang ini aku ingat betul, "Facebook/Twitter + smartphone = naked". Terkedu aku sebab aku dalam kategori itu.

Mamat tu cakap, kita happy-happy update status kita, beritahu apa kita buat, sapa kita marah, kutuk orang tu, orang ni dan lepas tu semua ni terdedah pada semua orang di dunia ni.Silap-silap hari bulan oang yang kita kutuk tu baca kita punya message. Tak haru.

Semalam aku pun ada baca satu blog ni pasal minah ni sound mak-mak yang mengupload gambar anak-anak dan cerita mereka. Minah tu kata, kalau cerita itu puji anak tak apa juga tapi kalau cerita mengisahkan kepenatan kita jaga dia orang, macam mana perangai dia orang, bila anak itu jumpa blog tu nanti, apa perasaan mereka. Mungkin anak-anak tu rasa dia tak di sayangi oleh mak dia. Eish! Susah juga ya nak mengblog ni. Perasaan anak-anak pun kena jaga juga.

Jadi aku rasa apa yang aku baca semalam dan apa yang aku dengar pagi ni, membuatkan aku terfikir yang selama ni, aku main sedap aje upload gambar anak-anak dan sebagai. Mungkin lepas ni kena tapis sikit dan hide their identity.

Oh! ya sebelum aku chao, aku mood bagus hari ini sebab makan free. Hari ini farewell member kat Bumbu Desa. Pergi naik Alphard si BSS dan balik naik Alphard RA. Best....

Wednesday, October 20, 2010

Sana Sini Jam

Hari ini aku ada appointment hantar kereta untuk servis. Biasalah kalau hantar kereta servis, dah tentu kena pergi pagi-pagi. Jadi aku hari ini siap awal dari biasa. Pukul 7 pagi dah siap tapi aku keluar rumah pukul 7.15pagi dengan harapan tak jam tapi jangkaan aku meleset.

Jam pertama aku jumpa, di lebuh raya SILK. Aku tersekat lebih kurang 20minit. Dah lepas jam kat SILK highway. jam dekat TOL Kajang. Smart tag rosak pagi ni jadi berpusu-pusu lah kereta masuk laluan lain. Dah sangkut lagi kat sini tapi tak lama dalam 5 minit.

Sampai kat Seremban-KL Highway, aku happy boleh pecut. Lepas Sg Besi TOL, dekat Desa Petaling, waduh...jam lagi. Terpampang kat signboard kata Laluan Sesak Menuju Bandaraya. Apa nak buat. Dah nasib aku. Sabar ajelah.

Sebab aku nak ke PJ, aku melenconglah mengambil laluan East-West Link, kat sini memang terkenalah dengan jamnya. Lama jugalah aku tersangkut kat sini tapi bila dah lepas exit Kg Kerinchi barulah aku dapat bergerak laju sikit. Aku lewat 10minit dari janji temu aku. Nasib baik tempat tu tak ramai orang hantar kereta servis jadi aku terus dilayan.

Apa yang aku nak sampaikan kat sini ialah kesesakan lalu lintas kat KL ini dan tol. Dari rumah aku, kalau nak KL, mesti kena bayar tol. Tak ada jalan yang tak kena tol. Jadi aku terpikir bayar tol sana-sini tapi jalan masih lagi sesak. Adakah sistem jalanraya kita ada kekurangan? Adakah dengan membina lebuhraya akan mengurangkan kesesakan jalanraya? Aku rasa tidak. Adakah perkhidmatan awam jawapan untuk kesesakan ini? Aku tak tahu sebab aku boleh blog pasal public transport ini.

Jadi apa yang harus kita buat sebagai pengguna jalanraya. Car pool? Aku rasa tak berapa effective. Jadi apa ya? Any suggestion?

Monday, October 18, 2010

Pagi-pagi lagi aku dah bengang!

Pagi ini, aku bangun tidur tengok air tak ada. Bengang betul! Bilik air adalah sebab air tangki tapi air kat dapur elek. Bila aku buka paip pagi ini, bunyinya "sshhhh". Aku tutup. Aku buka balik air masih tak ada. Geram aku. Kena lah masuk bilik air ambil air.

Aku tak tau lah dengan syarikat yang mengurus air kat tempat aku. Ini bukan kali pertama aku bangun pagi tak ada air. Minggu sudah pun macam tu. Dah pukul 11 pagi baru air ada. Kalau nak tutup air, sekurang-kurangnya berilah tahu. Hantarlah surat supaya orang ramai tahu air tak ada. Ini tak buat orang stress aje pagi-pagi.

Apa yang aku tenguk kurang sikit ialah menghargai pelanggan. Kalau dia tahu menghargai pelanggan dia takkan biarkan pelanggan begini. Entahlah mungkin dia rasa dia seorang yang mengurus air kat sini, jadi dia bolehlah tidak mengendahkan pelanggan. Salah konsep ni. Seeloknya lah jangan ada monopoli.Kita mesti ada satu lagi syarikat yang dapat menawarkan penrkhidmatan dan pengurusan air yang baik. Baru lah mereka sedar macam mana nak jaga hati pelanggan.

Tengok telekomunikasi. Berapa banyak syarikat yang bersaing. Jadi persaingan hebat. Tiada monopoli. Aku tak suka Celcom aku lari ke Maxis, tak suka Maxis aku lari ke Digi. Jadi banyak pilihan asalkan syarikat itu dapat memenuhi cita rasa aku.

Jadi macamana agaknya kita nak sedarkan syarikat yang menopoli ini. Susahkan nak menyedarkan mereka supaya meningkatkan servis mereka. Any idea?

Sunday, October 17, 2010

Panasnya hari ini...

Hari ini aku pergi Putrajaya. Melawat ayahanda tercinta yang masuk hospital sejak Jumaat lalu. Aku tak nak cerita pasal ayah aku. Sedih. Lain kali lah. Yang aku nak cerita betapa sejak dua tiga hari ini, panas terik.

Pooh, tadi pagi masa aku hantar anak aku kelas musik, aku dan anak aku ZAS pakai cermin mata hitam. Aku kalau terlampau panas dan tak pakai cermin mata hitam sakit kepala jadinya. Masa petang tadi, sedang aku memandu, aku pun mencarilah cermin mata hitam aku. Selalunya aku letak cermin mata tu kat sebelah kiri aku tu tempat letak air. Raba punya raba, cari punya cari tak ada. "Mana pula pergi benda ini," aku merungut seorang-orang dalam kereta. Sampai aku tulis blog ni, aku tak jumpa juga.

Kalaulah ada orang ambil cermin mata hitam aku tu, selamatlah. Cermin mata aku tu, brand Ray-Ban, dah aku customisekan ikut power mata aku. Heh! power cermin mata aku tinggi. Pakai kan tak nampaklah orang tu. Harap-harap dia tak pakai masa bawa motor atau kereta. Nyanya jadinya.

Eh! Melalut aku. Aku nak cerita panas terik dua-tiga hari ini. Tak tau bila hari nak hujan. Ada juga kebaikkan tak hujan hujung minggu ni. Kering baju semua tapi janganlah berpanjangan. Nanti kemarau susah pulakan. Sekarang ini susah nak teka bila hujan, bila panas, bila banjir, bila kemarau. Ini semua gara-gara global warming. Salah sapa? Salah manusia jugakan. Kita terlampau tamak, terlampau nak maju hingga kita lupa pasal dunia ni. Kita kena jaga juga muka bumi dan prihatin dengan alam sekitar. Jangan terlampau tamak semua hutan di tebang buat balak. Elok juga kalau barang-barang buangan tu di kitar semula. Aku rasa aku akan blog pasal kitar semula nanti.

Okaylah..aku chao dulu...Bila aku senang aku muncul semula okay. Salam...


Saturday, October 16, 2010

Salam Perkenalan

Eh! Ini blog pertama aku kat sini. Aku masih lagi baru kat arena blog ini. Yalah masih nak mengenali apa itu blog, macam mana dan sebagainya. Aku dengan blog ini boleh di ibaratkan baru seperti orang baru berkenalan, baru berdating. Banyak benda nak dipelajari.

Tujuan aku tukis blog bukan apa, aku nak gunakan ia sebagai tempat aku melepaskan stress aku. Kadang-kadang aku banyak benda nak cakap tapi tak boleh cakap nanti ada yang tersinggung pula. Jadi sinilah tempat aku nak meluahkan perasaan aku. Satu benda yang aku akan elakkan ialah cerita politik. Aku ini bukanlah kaki politik. Apalah aku tahu jadi baik aku duduk diam-diam. Jangan bincang atau usik tajuk tu. Sensitif nanti terbakar diri.

Jadi apa sebenarnya aku nak tulis kat blog ini? Bak kata omputih, "I'll write anything under the sun." Eh! Apa maknanya tu? Maksudnya, tulislah apa yang menarik kat diri aku. Tepatke tidak maksudnya tu, tak aku tahulah. Bantai ajekan.

Okaylah, disebabkan aku tak ada tajuk yang menarik nak tulis sekarang, aku chao dululah. Esokke lusake aku muncul semulalah...Yeah. Bye-bye jumpa lagi. Salam.