Monday, August 8, 2011

Kisah anak-anak dan puasa

Hari ini aku bengong sikit. Tiba-tiba aku punya skrin laptop besar pula. Entah mana aku tekan pun aku tak tahu. Dari jauh orang boleh nampak apa aku buat.


Ish! Ish! Ish! Tak suka aku. Kalau aku tahu mana aku tekan, boleh lah aku godek biar skrin tu kecil semula. Ini aku tak tahu. Mungkin aku tertekan sesuatu kat touchpad itu. Entahlah.Yang bestnya, skrin tuk blog aku, besar sementara skrin untuk facebook, halus sangat. Dan yang lain-lain, normal. Kelakarkan...


Okaylah, tinggalkanlah masaalah aku ngan laptop aku ini.


Hari ini hari kelapan kita puasa dah. Alhamdulillah setakat ini, aku dapat menjalankan ibadah puasa tahun ini tanpa ada masaalah. Sakit demam tu adalah tapi boleh lagi tahan. Aku berdoa agar aku tak kena gastrik. Kalau kena gastrik, habislah...Nauzubillah..


Alhamdulillah juga lah anak-anak aku pun dapat melaksanakan ibadah puasa tahun ini. Si abang sulung dan yang nombor dua tu dah besar, jadi kalau tak puasa memang nak kenalah kan?


Tapi yang bestnya, si Zaki anak ketiga aku. Yalah dia baru umur 7 tahun. Aku tak tahu dia puasa ke tidak, tapi hari pertama tu memang dia puasa. Nampak letih dan tak bermaya. Hari kedua, ketiga dan keempat, nampak aktif. Hari kelima dia tak puasa, tapi Sabtu dan Ahad dia puasa lah. Sampai terbaring kepenatan.


Hari ini dia tak sahur tapi dia kata dia puasa. Tengoklah dia puasa ke tidak. Aku dah suruh dia tak payahlah puasa hari ini. Lagipun tekak dia sakit. Tapi dia nak juga. Baguslah tu kan. Harap-harap dia puasalah hari ini.


Anak perempuan aku pula, asyik tanya bila nak raya. Haahaahaa puasa baru masuk seminggu, dia dah sibuk tanya duit raya, baju raya, bunga api. Puasanya tidak...Yang bagus dia ni, bila orang buka, dia tak lah kacau nak buka sekali, janji perut dia di isi dulu. Dia ni puasa yang-yang yok, pagi-pagi buka periok. Tapi dia taklah buka periok. Dia memang tak minum pagi. Jadi aku kata kat dia puasa sampai pukul 10 pagi sahaja. Bila cikgu bagi makan, makanlah.. Jangan malu-malu.


Okay, itulah kisah anak-anak aku bulan puasa. Ada lagi cerita mereka tapi nantilah bila aku senang aku cerita lagi.


Oh ya! Gambar kartun kat atas tu, macam tu lah dia orang. Nak makan Mc Donald aja...

Thursday, July 28, 2011

Dahsyatnya Hari Kiamat Dan Padang Mahsyar

Aku terima ini dari kawan sepejabat. Jadi aku berkongsi dengan semua pembaca agar ianya mengingatkan kita pada hari yang tidak tahu bila akan tibanya...Yang kita tahu ianya pasti tiba....




Dahsyatnya Hari Kiamat Dan Padang Mahsyar. 
Assalamualaikum Wbr.



Hari yang Pasti Terjadi




Gambaran Hari Qiamat 

 Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
 Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya "Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?" Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya "Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa." Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
 Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
 Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
 Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
 Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
 Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
 Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
 Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
 Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga. 
 Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah: 
- Pemimpin yang adil.
- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".
- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

 Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
 Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.
 Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba dibumi.
 'Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
 Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari 'Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
 Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & 'Atid / Kiraman Katibin.
 Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
 Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.
 Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
 Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.


 Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
 Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.
 Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat. 
 Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat : 
- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)
 Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
 Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
 Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
 Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.


Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.
 Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW:  Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat.  Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :  Sedekah/amal jariahnya.  Doa anak²nya yang soleh.  Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.

Monday, June 27, 2011

Apabila banyak bermain....

Ahh! Lama betul rasanya tak update kat sini. Aku memang benar-benar sibuk sejak menjaga bajet. Sebenarnya aku jaga bajet ni sementara aja, sebab jejaka yang menjaga bajet ni dah berhenti. Pergi melanjutkan pelajaran ke Sydney dan meninggalkan aku terkontang-kanting buat bajet. Kalau dapat gaji lebih, okay juga.  Ini tak ada pun. 


Petang sabtu hari itu, aku keluar dengan suami aja. Anak-anak tak nak ikut dah. Dah besar masing-masing. Yang berumur lima tahun tu pun, kadang-kadang tak mau ikut. Tak best kata nya. Duduk kat rumah dengan abang-abang lagi best. 


Pada paginya, aku pergi sekolah anak-anak aku tu. Hari perjumpaan ibubapa dan guru-guru. Hari repot kad. Ughh..tak memberangsangkan keputusannya dia orang. Yang si abang lagi teruk. Banyak termenung. Kerja tak siap. Apa lagi, bila keputusan tak bagus, habislah 'privilege' kena tarik.


Ketiga-tiga PSP kena simpan, Astro card pun di simpan. Bila kami ada baru bagi tengok. Bola di simpan dan begitu juga basikal. Termenung dia orang. Mula-mula, mati kutu sebab tak tahu apa nak buat.


Akhir sekali, dia orang pun ambil lah buku dan mula baca buku. Walaupun tak lama, dah nampak dia orang nak buka buku. Salah aku juga. Masa dulu aku kawal juga bila masa dia orang boleh main iaitu pada hujung minggu dan cuti sekolah sahaja. Tapi kali ni tidak. Apa lagi dia orang, celik mata PSP, lepas mandi PSP, nak tidur PSP. Tak lekang PSP dari tangan.


Aku kata kat dia orang, selagi tak ada peningkatan, jangan harap nak nampak PSP tu atau yang lain-lain. Jadi kita tengoklah samada dia orang ni akan berusaha untuk meningkatkan pelajaran dia orang dan mendapatkan semula PSP mereka.









Thursday, June 9, 2011

Biar mereka sayang menyayangi

Whoa...lebih dari seminggu aku tak update blog ni. Sibuk dengan hal anak-anak dan juga kerja. Minggu sudah, anak lelaki aku yang berumur 7 tahun tu, bersunat. Alhamdulillah, dah sihat. Dah mula nak berlari dan naik basikal.

Aku ingat dia akan merengek selalu dan terbaring aja, tapi tidak. Dia aktif. Balik saja dari hospital dia tak tidur atau baring. Sebaliknya, duduk depan tv, tengok tv dan main game.

Orang turun dia turun, orang naik, dia naik. Aku tanya, "Sakit tak?", dia jawab, "Sikit aja."

Yang buat aku senang sikit ialah abang-abang dia banyak membantu menolong menjaga dia. Bila dia buang air kecil, si abang yang berumur 11 tahun, tolong basuh dan lapkan biar kering.

Si abang yang sulung, tolong bubuh ubat dan si adik perempuan yang kecil pun nak tolong, tapi tak di beri. Marah dia.

Jadi bila aku mula kerja semula, masing-masing tahu macam mana nak jaga si adik ni. Itulah dia kerjasama. Macam bunyi wonder pet pula kan.  Aku berdoa anak-anak aku ini akan saling bantu membantu sampai lah mereka dewasa dan berkeluarga. Tolong dan bantu antara satu sama lain. Ialah bak kata perpatah, "air yang dicincang tak kan putus." atau dalam bahasa Inggeris, "Blood is thicker than water. Aku juga berdoa akan mereka tidak bermusuh antara satu sama lain. Amin


Aku rasa, untuk anak-anak kita bersatu dan saling membantu, sayang menyayangi, kita sebagai ibu dan bapa, harus berlaku adil. Sesiapa yang bersalah, dia lah yang patut di denda, bukan yang sulung atau orang lain. Kita juga tidak boleh berlaku tidak adil. 

Jika seorang dapat, semua mesti dapat. Tak boleh anak kesayangan kita mendapat lebih sebabnya, yang lain akan berasa kecil hati dan berdendam.Kita juga tidak boleh melebihkan dan memanjakan anak kesayangan kita, kerana ianya akan membawa banyak keburukan dari kebaikkan. 

Sebab apa banyak keburukkannya? Sebab anak itu tidak akan tahu menilai apa yang betul dan apa yang salah. Akhirnya, ianya akan menyusahkan anak itu sendiri dan juga kita sebagai ibubapa.

Oklah, aku beredar dulu. Sehingga berjumpa lagi...Salam.

r

Tuesday, May 24, 2011

Bila sudah dewasa, giliran kita jaga mereka

Pada hari Sabtu yang lepas, aku dapat pergi shopping dengan suami aku. Jarang dapat kami keluar berdua. Mesti ada yang mengikut kami. Tapi disebabkan kami hantar kereta servis, tak ada siapa yang nak ikut. Sementara menunggu kereta kami siap, kami pergi dulu ke KLCC.

Hehehe...boleh di katakan kami antara pengunjung yang terawal yang datang. Tempat yang mula-mula kami tuju ialah La Cucur. Minum pagi dulu sebelum merayau-rayau kat KLCC.

Selepas La Cucur, kami pun menuju ke Parkson sebab suami aku nak beli barang untuk anak-anak. Dah dapat semua untuk budak-budak, dia kata nak cari kasut untuk dia. Memang lama dah dia sebut nak beli, tapi tak beli-beli juga. 

Tak ada satu pun yang dia perkenan kat Parkson. Dia ajak aku ke Mark and Spencer. Wow! Besar biji mata aku bila dengar Mark and Spencer. Kami pun pergi bahagian kasut. Tak jumpa juga. Hmmm.. dah agak dah, mesti tak perkenan.

Alang-alang dah sampai kat Mark and Spencer, aku pun ambil lah satu barang untuk aku. Tak payahlah cakap apa dia. Dari Mark and Spencer, pergi pula ke Isetan. Ishh! Aku dah mula penat tapi ikut juga.

Lama kat Isetan. Lepas satu-satu tapi tak ada juga yang perkenan kat dia. Sambil menunggu dia aku duduk melihat gelagat pembeli lain. Dalam ramai-ramai, aku terpandang pasangan tua ini sedang memilih kasut. Si isteri duduk sebelah suami dan memberi pandangannya. 

Sedang mereka memilih, tiba-tiba muncul si anak bujangnya. Rupa-rupanya si anak membelikan si ayah kasut. Si anak pun memberi pendapatnya tentang kasut yang di beli si ayah. 

Senario yang aku lihat membuat aku terfikir, masa kecil-kecil dulu si mak dan ayah pilihkan dan belikan untuk kita. Bila kita dah besar dan bekerja, giliran kita pula belikan untuk orang tua kita. Bukan itu sahaja, menjaga orang tua kita pun adalah satu tanggung jawab kita kan.

Betulkan? Tapi aku kadang-kadang lupa tanggung jawab aku terhadap orang tua aku kerana kesibukkan dengan kerja dan anak-anak. Sementara aku teringat ni, baik aku call mak aku. 

Oh ya! melalut pulak aku.Selepas lama menunggu dan memberi idea dan komen, akhirnya suami aku kata, "Tak apalah. I tau kat mana nak beli." Jawapan aku, "Hmmmm...as expected."

Okay. Aku pergi dulu. Salam

Monday, May 9, 2011

Simpan jangan tak simpan..

Ah! Aku agak sibuk sejak akhir-akhir ini. Maklumlah sejak kawan sepejabat aku berhenti, kerja dia aku kena buat. Perghhh....bukan senang kerja dia. Ialah dia jaga finance dan budget untuk department ini. Tapi apa nak buat, dia nak sambung belajar tak bolehlah nak pujuk suruh dia jangan berhenti.

Aku tak tahu sampai bila aku kena buat benda ini. Aku dah beritahu boss aku sebelum kawan aku pergi yang aku tak nak buat budget. Stressful aku. Dulu aku dah buat. Tiga bulan lamanya dan selama tiga bulan itu hidup aku tak tentu haluan. Nampaknya, ianya berulang lagi.

Minggu sudah, kuranglah orang yang mencari aku, tapi pagi ini, melambak e-mel tanya pasal budgetla, reforecastlah...rasa nak muntah aku tengok benda tu. Yang lebih buat aku tension bila ada orang nak informasi masa tu juga. Macamlah aku buat benda-benda itu sebelum ni.

Bila dah tua-tua  macam ni, aku rasa nak duduk rumah aja dan buat apa yang aku suka. Tapi apakan daya, anak-anak masih kecil. Kenalah berkerja lebih untuk mereka. Bukan untuk kesenangan sangat tapi sekurang-kurangnya, ada sedikit simpanan untuk kegunaan mereka bila hendak menyambung pelajaran.

Bercakap pasal menyimpan, aku selalu beritahu anak aku, jangan suka berbelanja sesuka hati. Duit yang lebih masuk tabung. Aku tak suka anak-anak aku beli gula-gula atau makanan ringan.

Kalau dulu, mereka nampak duit syiling, buat tak tahu aja tapi sekarang pantang nampak duit syiling, dia orang ambil lah masuk tabung mereka. Ada sekali, habis duit syilling aku dia orang ambil. Bagus juga tu, tak adalah berat beg aku.

Okaylah, sebelum aku pergi, menabung ni bukan untuk anak-anak kecil. Ia juga amat berguna untuk kita yang berkerja ini. Bak kata pepatah, 'Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit'.

Tak perlu simpan banyak-banyak. RM10 sebulan pun sudah memadai. Bila sesak-sesak ada juga tempat kita boleh korek..tapi jangan asyik mengorek aja. Nanti habuk pun tak ada...

Okayla...pesanan ku, simpan jangan tak simpan....salam.

Tuesday, April 26, 2011

Aku terkilan....

Pagi kelmarin, aku dapat berita yang amat menyedihkan. Bekas kawan sepejabat aku telah kembali ke rahmatullah pada hari Ahad. Arwah telah menghidap barah payu dara tahap 3.

Arwah sedang menjalani rawatan kemotegraphi sebelum doktor melakukan pembedahan. Malangnya belum pun sempat pembedahan di buat, beliau telah terlebih dahulu pergi meninggalkan dunia ini.

Aku sebenarnya terkilan sebab tidak sempat melawat arwah semasa di dalam hospital. Semasa arwah menjalani rawatan, aku agak sibuk dengan mak aku yang juga menghidap penyakit yang sama.

Aku hanya sempat berkirim salam pada arwah melalui kawan serumah ku dulu. Dia sempat berjumpa arwah dua kali dan juga sempat berbual dengan arwah pada minggu lepas.

Sepanjang aku mengenali arwah ini, dia seorang yang baik dan merendah diri. Arwah datang dari golongan berada tetapi beliau tidak pernah menunjuk statusnya itu. Masa aku mula-mula kenal dia, aku ingat dia seperti kita, tetapi setelah beberapa bulan baru aku tahu yang dia ini memang anak orang kaya.

Aku juga dapat tahu yang arwah seorang anak yang taat pada ibunya. Dia akan mengikuti kehendak ibunya walaupun dia tidak setuju dengan ibunya. Mungkin sebab itu, Allah lebih menyayangi beliau dan menjemputnya dahulu.

Azizah, aku doakan agar rohmu berada di kalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah.... 

Monday, April 18, 2011

Bilik air mana nak pergi ni?

Pada hari Sabtu lepas, aku dan keluarga aku pergi majlis kenduri kahwin anak lelaki kawan aku. Hujan hari itu. Sejuk. Begitu jugalah di harap perkahwinan mereka berkekalan ke anak cucu.


Lepas kenduri, kami pergi ke Mid-valley. Lama betul aku tak bawa keluarga aku ke sana. Bukan apa, hujung minggu memang sibuk aja tambahan aku tak ada pembantu rumah.


Biasalah bila dah lama kat tempat membeli belah, mestilah kita nak guna bilik airkan. Mula-mula anak lelaki aku pergi. Tiga-tiga pergi masuk bilik air yang ada kat Mid-Valley. Aku tak tahu keadaan bilik air kaum lelaki kat sana. Aku lepaskan mereka pergi.


Tak lama tu, anak perempuan aku pula nak masuk bilik air. "Hmmm...kat mana nak pergi ni," kata aku. Bukan apa aku cuba elakkan bilik air yang disediakan. Sebabnya ialah


1) Bilik air basah. Ini yang aku kurang selesa. Kalau masuk, kena angkat kain atau seluar kalau tak basah lah.
2) Bilik air bersih tapi ada sedikit bau walaupun di cuci banyak kali. Aku pun pelik kenapa boleh jadi macam ni. Adakah pernggunaan bahan cucian yang kurang bermutu? Wallahualam.
3) Tempat duduk kotor. Aku cukup bengang kalau tempat duduk dia ada bekas tapak kasut. Tak tahu manusia mana yang mengcangkung kat atas jamban tu. 
4) Tak ada kertas tisu atau sabun. 


Memikirkan perkara di atas, aku pun cakap kat suami aku, aku nak ke Garden. Nak pergi toilet kat Garden. Aku tak cakap pun aku nak pergi yang berbayar punya.


Bila sampai Gardern, aku pun bawa anak perempuan aku ke bilik air yang berbayar tu. Bayar RM5.00 aku puas hati. Bilik air bersih, dan selesa nak guna. Tak ragu-ragu. Pas tu, di sediakan pula tuala tangan.


Komen anak perempuan aku sebelum keluar, "Bilik air ini bestkan ibu, macam hotel. Bersih." Itu dia kata-kata yang keluar dari mulut seorang anak lima tahun yang dapat membandingkan bilik air bersih, selesa dengan bilik air bersih tetapi kurang selesa.


Aku rasa penggunaan dan penjagaan bilik air ini, kena tanam dari kecil. Kita sebagai ibu dan orang dewasa kenalah ajar anak-anak ini tentang kebersihan bilik air itu kerana kebersihan itu tanggung jawab bersama. Betul tak?

Thursday, April 14, 2011

Bila Tayar Bergoyang....

Pada petang Selasa lalu, hari hujan. Huh! Aku balik agak awal dari biasa sebab hari itu 'Birthday' aku. Ingatkan boleh sampai awal tapi al maklumlah, KL kalau hujung memang tersangkut dalam kesesakan lalu lintas la.


Bila hari hujan semua orang bawa kereta perlahan. Berhati-hati. Jarang yang memandu dengan laju. Manalah tahu kalau laju nanti tak sempat nak elak lobang besar yang penuh dengan air. Terjerumus tayar dalam lobang besar pulak nanti.Susah. Nak sampai cepat langsung lambat.


Dalam aku memandu perlahan-lahan itu, adalah sebuah kereta yang agak tualah. Macam mana aku boleh kata tua sebab nombor plate kereta dia ada dua alphabet dan bermula dari huruf...jeng..jeng..jeng...'W'.


Aku tak tahu lah samada pemandu kereta tu perasan. Tayar belakang sebelah kiri kereta dia bergoyang sebab skru dia tak ketat. Aku yang ikut belakang dia risau mana tau tayar dia tercabut.


Bayangkan bila tayar dia tercabut, apa yang berlaku. Pertama, tayar tu akan bergolek sama ada arah ke depan atau ke belakang. Tayar tu boleh kena pada kenderaan lain, kan? Kalau kereta tak apa juga tapi bayarkan kalau kena penunggang motosikal. Boleh terbang penunggang motosikal.


Kedua, kereta tu mesti terhempas kat jalan raya. Aku yang ikut kat belakang aku menghentam kereta itu kan. Heh! Kereta dia rosak, kereta aku juga rosak dan mungking beberapa buah kereta yang lainkan. Bertambahlah kesesakan jalan raya lagi bila berlaku kemalangan.


Sebab itu, kita kenalah jaga dan selenggara kereta kita. Bukan lanyak aja. Kereta kita pun nak dalam keadaan tip-top , bersih dan selamat juga. Macamlah kita manusia, kalau kesihatan tak di jaga, mesti tak larat kan? Silap hari bulan, masa jalan pun boleh tumbang.


Jadi jagalah kesihatan kita dan juga jagalah kereta kita supaya tiada kemalangan berlaku.



Friday, April 8, 2011

Pergilah periksa sebelum terlambat!

Minggu ni terlewat sikit nak post kat blog ini. Sepatutnya aku nak postkan update pada hari Isnin tapi disebabkan oleh beberapa sebab baru hari ini aku boleh. 


Bukan apa, pada hari Isnin hari itu, aku cuti. Asalnya nak bawa mak aku pergi Hospital Pantai tapi bila aku sampai rumah adik aku, dia tak jadi pergi sebab dia kata buang duit saja.


Heh! Mak aku ada kanser payu dara. Dia suruh aku rasa tempat yang ada ketumbuhan itu. Memang betul, terasa dan agak besar jugalah. Memandangkan aku dah tak jadi pergi hospital, aku duduk layan mak aku sampai tengahari.


Pukul 12 tengahari, kamipun pergi makan kat Chili di Mid Valley. Seronok aku tengok dia makan walaupun dalam kegirangan itu, aku teringat arwah ayah aku yang memang suka makan makanan western.


Aku habiskan sehari dengan mak aku dan aku hantar dia balik ke Seremban kerana pada hari Selasa tu dia ada temujanji dengan doktor kat Putrajaya.


Sah bila kakak aku hantar, doktor akan lakukan pembedahan pada mak aku pada hari Sabtu ni. Habis di buang walaupun belum tahap kritikal sebab doktor kata jika buang semua tak perlu buat 'chemo'.


Bila aku fikirkan semula, kanser ini dah macam satu kebiasaan. Ramai yang aku kenal pernah menghidap kanser. Ada yang dapat mengalahkannya dan ada juga yang kecundang. Ngeri bila mendengar seseorang kena. 


Memandangkan kedua-dua orang tua aku penghidap kanser, aku dan adik-beradik aku lebih berhati-hati sekarang. Kami dah berada dalam golongan risiko tinggi dan kami  kena buat buat pemeriksaan kesihatan dan mammogram setiap tahun. Huh! Tak boleh ambil ringan sekarang.


Aku juga sarankan, semua kaum wanita tak kira umur dan bangsa, pergilah buat pemeriksaan kesihatan ini. Jangan malu dan jangan takut habis duit. Penyakit dan kanser tak kira itu semua. Ianya  boleh menyerang kita tanpa kita sedari. Pergilah ya!!


Sebelum aku pergi, di doakanlah mak aku selamat semasa dan selepas pembedahan nanti. Jumpa lagi minggu depan.


Salam.

Monday, March 28, 2011

Makan, jangan tak makan

Hari Khamis lepas, genap 100 hari abah ku meninggalkan kami. Rasa baru sangat  dia pergi. Masih teringat lagi hari-hari terakhirnya di Hospital Putrajaya itu. 


Sempena genap 100 hari itu, mak aku buat bacaan tahlil di Surau Taman Rashibah Indah, Seremban. Pada mulanya aku nak balik dengan anak sulung aku, tapi di sebabkan badan aku kurang sihat, aku beritahu mak aku yang aku mungkin tak balik.


Sesampai aku kat rumah, dengan badan yang lemah dan lesu itu, aku tengok anak sulung aku terlantar sakit perut. Dalam hati aku berkata, "Nasib baik tak balik, kalau tak susah."


Apa taknya, malam tu juga suami aku bawa dia pergi Hospital sementara aku duduk kat rumah jaga yang lagi tiga orang itu. Pukul 12 tengah malam baru balik. Kesian aku tenguk dia. Dah lah nak periksa SPM hujung tahun ini, selalu pulak sakit.


Dia ni bukan apa, kononnya nak jaga badan. Diet dan exercise. Kalau waktu malam tak nak makan dan siang hari aku tak tahulah dia makan ke tidak kat sekolah. Aku selalu juga beritahu dia kalau nak diet ni bukan berlapar, tapi mengawal permakanan kita.


Waktu makan, makan tapi jangan banyak-banyak. Lepas tu, minum air kosong banyak-banyak dan juga lebihkan sayur dan buah-buahan. Ini tak, bila waktu makan, adalah dia makan dua tiga suap. Ish! baru dia tahu. Ini satu pengajaran untuk dia.


Lagi satu perangai anak-anak aku ialah tak suka minum pagi. Yang sulung dan kedua tu minum lah sebab aku dah paksa, yang dua orang lagi tu yang susah. Puas aku pujuk. Dia akan minum pukul 10 pagi. Nanti perlahan-lahan aku pujuk. Insyallah berjaya.


Bukan apa, minum pagi ini penting. Ialah setelah beberapa jam perut kosong, kita perlukan minyak untuk memulakan hari kita. Insyallah otak kita akan lebih cergas.


Okaylah, aku pergi dulu. Jumpa lagi minggu depan. Salam.





Monday, March 21, 2011

Sedarlah sebelum terlambat

Petang semalam, aku duduk berborak dengan seseorang yang agak rapat dengan aku. Aku kesian dengan dia. Adakah patut seorang anak melalukan perkara begitu pada si ibu.

Lupakah si anak bahawa kita kena menghormati si ibu? Sekaya mana pun kita, secantik mana pun kita dan seburuk mana pun ibu kita, kita mesti menghormati si ibu kerana syurga di tapak kaki ibu.

Aku juga percaya jika kita bebuat baik kita akan dibalas dengan kebaikan dan jika kita berbuat jahat, nescaya kita juga akan di balas setimpal dengan apa yang kita lakukan. Tiada siapa yang lebih henat atau kebal di dunia ini melainkan Allah.

Aku juga percaya bahawa kita tidak perlu membeli persahabatan dan sokongan dengan wang ringgit. Adakah dengan menghulur wang pada semua orang yang kita suka kita akan mendapat sokongan dan persahabatannya? Belum tentu lagi bukan. Yang penting dalam persahabatan ialah jujur, prihatin dan pengurbanan.  Itu adalah amat bererti. Bukan wang ringgit. 


Wahai si anak, ingatlah, jika Allah hendak mengambil kekayaan kita, kecantikkan kita hanya sekelip mata. Sedarlah! Minta maaflah pada si ibu. Jangan jadi anak durhaka..itu saja pinta ku.

Sekian...wassalam.



Wednesday, March 16, 2011

Sayang sayang juga, pantau-pantau juga

Hari ini aku cuti. Saja aja sebab nak habiskan masa bersama anak-anak. Lagi pun cuti sekolah. Budak-budak ni boring tinggal dia orang saja. Jadi bila aku cakap aku nak cuti, bukan main gembira dia orang.


Sebenarnya tak ada ke mana pun. Iyalah, si ayahnya bekerja jadi kami ronda-ronda sekitar Kajang, Bangi dan Putrajaya. Mula-mula ke Kajang, ambil si abang yang sulung balik dari tuisyen matematik.


Masa pergi ambil, waktu tengah hari, jadi makan tengahari terus kat Saujana Impian. Kesian bila tengok apa yang kami makan. Budak-budak ni ambil nasi dan sup ayam. Kuah aje, ayamnya dah habis. Maknya macam tu juga. Ambil lah seekor ikan sambal. Walaupun sup kosong, berselera dia orang tu makan.


Pastu kami pergi lah ke Alamanda. Kosong aja parking Alamanda. Almaklumlah cuti sekolah dan waktu bekerja. Heh! Kami pergi main boling. Yang lucunya, tak tahu kat mana tempat boling tu. 


Orang kata malu bertanya sesat jalan jadi kami tak malulah. Tanya orang yang kerja kat situ dan di tunjukkanlah tempat boling tu. Huh! Penuh! Ramai betul. Yang datang ngan mak bapak dan ada yang datang sama-sama mereka.


Kami dapatlah lane yang hujung sekali. Budak-budak ini tak pernah main jadi dapat tepi tu amatlah mereka suka. Nasib baik ada pagar yang melindungi bola tu dari jatuh ke longkang. Kalau tak semua kosonglah markah mereka.


Masa main tu, aku perhatikan budak-budak bawah 12 tahun ramai yang berkeliaran bersama-sama mereka. Ada yang main dan ada yang tengok aja. Aku terpikir, mak bapa dia tak takut ke lepaskan anak macam tu aja. Mungkin dah biasa kot bebas. Aku pasang jugalah telinga dan dari cara dia orang bercakap tu, hmmm...kurang enak bahasa yang di guna.


Aku bukan apa, walaupun anak sulung aku tu dah bujang, aku masih pantau dia. Facebook dia aku masuk tengok apa yang dia tulis. Yalah kadang-kadang budak-budak ni, depan mak bapak pijak semut tak mati tapi belakang kita pergh!!! tak boleh di bayangkan.


Sebagai ibu-bapa kita harus peka semua tentang anak kita. Ada kawan aku tu bila dia tengok anak dia tulis sesuatu yang tak elok dekat FB, terus dia tegur dan dia larang anak dia untuk sekita dari masuk FB. Bukan kongkong tapi sekadar memantau mereka.


Okaylah...aku minta diri dulu...sekian salam.

Thursday, March 10, 2011

Hargai masa bersama anak-anak

Hari tu aku janji tak nak abaikan blog ini tapi apakan daya aku agak sibuk ngan kerja dan juga blog Inggeris aku. Hari ini aku balik awal jadi aku jenguklah kat sini. Bukan selalu aku balik awal.


Entah kenapa sejak akhir-akhir ini aku rasa kurang sihat. Badan aku lemah-lemah  semacam tak bermaya. Mungkin stress ke atau aku dah burned out. Wallahuallam. Aku harap ia keadaan sementara aja.


Aku dah dekat dua bulan duduk rumah baru aku kat Bangi. Masih banyak yang nak kena buat. Barang-barang pun masih banyak yang nak kena beli sebab barang rumah dulu tu dah buruk dan usang. Rumah aku boleh dikatakan masih kosong.


Duduk kat sini, pergi kerja pun cepat sikit. Kurang kesesakkan lalulintas. Bila balik awak, aku dapat bersama anak-anak aku baca Yassin. Seronok rasanya. Dulu masa di Kajang agak susah nak dapat masa begini. Kalau aku balik awal pun, kadang-kadang suasana dalam rumah yang serabut tu membuat aku kurang mahu membaca bersama mereka. Tapi, alhamdulillah di sini lain sikit. Aku harap ianya berkekalanlah.


Aku rasa penting  untuk kita luangkan masa dengan anak-anak. Mereka perlukan tunjuk ajar dan kasih sayang dari kita. Tak guna bagi kemewahan jika dia orang tidak dapat menilainya. Aku tak mahu anak-anak aku mendapat barang yang mereka kehendaki tanpa berusaha. Biar mereka tahu betapa susahnya nak dapatkan sesuatu.


Yang besar-besar dah faham dah. Hanya tinggal sekenit berdua ini yang pada mereka apa yang dia orang nak, ibu kena beri. Heh! Aku tak layan. Lakukan dulu apa yang aku suruh baru dapat. Macam ni baru dia tahu macam mana nak menghargai sesuatu barang tu.


Okayla..aku minta diri dulu. Insyallah aku akan cuba mengupdatekan blog ini seminggu sekali...sekian. Salam,

Friday, February 11, 2011

Misteri Kotak Hitam #2

“Bunyi apa tu?” bisik Haziq pada Jeffri perlahan. Dia merapatkan badannya pada Jeffri.
“Tak tahu,” jawab Jeffri.
Mereka cuba mendengar lagi bunyi itu tetapi tidak tidak kedengaran. Haziq menarik kain selimutnya dan menutup mukanya..
“Kuching agaknya,” kata Jeffri. “Tidurlah.”
“Aku takut,” jawab Haziq.
“Tak ada apalah. Baca Bismillah dan ayat 3 Qul,” kata Jeffri.
Haziq membaca ayat-ayat yang disuruh. Tetapi dia masih merasa seram tetapi di lawannya perasaan takutnya itu. Jeffri mengiring mengadap pintu. Haziq merapatkan badannya pada Jeffri.
“Eh! Apa ni?”
Haziq diam tidak menjawab. Dia menutup matanya rapat-rapat dan terus membaca ayat-ayat yang disuruh itu.  Setelah beberapa ketika, rasa seramnya hilang dan dia kemudian terus tertidur. Kedua-dua mereka terlena dan pada tengah malam, tiba-tiba katil mereka di goncang. Jeffri dan Haziq terjaga. Mereka memasang lampu tidur di tepi katil. Tiada apa yang kelihatan.  Semua seperti biasa.
Haziq betul-betul takut kali ini. Degupan jantungnya kuat. Kedua-dua belah tangannya sejuk. Sementara Jeffri tidak menunjukkan sebarang reaksi pun. Seolah-olah kejadian itu hanya satu illusi saja.
“Jeffri, kau rasa tak?” tanya Haziq.
“Ada. Kau buat apa sampai bergoncang katil?”
“Tak ada apa. Aku tengah tidur. Kau tak?”
“Tak lah. Aku pun tidur juga,” kata Jeffri.
Setelah pasti tiada apa yang mengacau mereka, mereka menyambung tidur semula. Tetapi kali ini mereka di kejutkan dengan bunyi bising di atas bumbung seperti ada orang sedang berjalan di atas bumbung.  Kali ini Haziq memeluk Jeffri dan badannya mengigil ketakutan.
Jeffri juga berasa takut. Mereka bangun dari katil terus lari keluar dari bilik dan menuju bilik atuk mereka.
“Tok! Tok! Buka pintu,” kata mereka sambil mengetuk pintu bilik atuk mereka.
Pak Ahmad bangun dan membuka pintu bilik. Dia kehairanan melihat anak cucunya pucat dan ketakutan.
“Kenapa ni Jeffri, Haziq?” tanya Pak Ahmad.
“Kami dengar bunyi orang berjalan kat atas bumbung,” jawab Jeffri.
“Ya, tuk! Haziq takut. Boleh tidur dengan atuk tak?”
“Bunyi apa? Di mana?” tanya atuknya lagi seperti tidak percaya dengan apa yang di dengarnya..
“Bunyi orang jalan tuk, di atas bumbung. Betul-betul macam di atas bilik kami,” jelas Haziq.
“Heh! Entah-entah perasaan kamu aja tak? Kan tadi kau takut tengok cerita tv tu?”
“Tak tok. Ini betul punya. Mula-mula Haziq dengar dia jalan, lepas tu katil kami kena goncang dan akhir sekali bunyi jalan dekat atas bumbung.”
Atuk mereka mengelenggkan kepalanya. Selama 45 tahun duduk di rumah ni, tiada apa pun yang di rasainya. Dia merasakan anak cucunya merindui bantal dan katil mereka sendiri.
“Baiklah. Mari atuk temankan kau orang tidur di atas. Atuk pasti tak akan ada apa-apa yang berlaku.”
Mereka pun kembali ke bilik. Kali ini Haziq tidur di tengah-tengah di apit oleh Jeffri dan Pak Ahmad. Dia berasa selamat kerana atuknya tidur bersama mereka. Tanpa di sedari oleh mereka, ada sepasang mata memerhati mereka.

Wednesday, February 9, 2011

Misteri Kotak Hitam

Bab 1

“Aarggghhh,” jerit Haziq ketakutan. Dia mendekatkan badannya pada datuknya, Pak Ahmad.
“Ishhh! Penakut rupanya kau ni. Anak lelaki apa macam ni?” kata Pak Ahmad.
Haziq diam sahaja sementara Jeffri yang duduk bertentangan Haziq tersengih mendengar kata-kata atuknya. Haziq mencapai kusyen dikerusi sebelah dan memeluknya. Sekali sekala dia akan menutup mukanya dengan kusyen itu. Melihat gelagat Haziq itu, Jeffri ketawa besar. Pak Ahmad juga tersengih melihat kerenah Haziq itu.
“Pergi masuk tidurlah Haziq,” suruh Pak Ahmad.
“Tak nak. Haziq nak tenguk cerita ni.”
“Kan kau mimpi kan susah pulak,” kata Pak Ahmad.
Haziq tidak memperdulikan atuknya dan Jeffri. Dia meneruskan menonton cerita itu walaupun dia takut.Setelah tamat cerita hantu itu, Jeffri dan Haziq pun bangun untuk masuk tidur di bilik yang terletak di bahagian atas rumah mereka. Jeffri yang melihat Haziq takut mengusik Haziq.
Jeffri dan Haziq merupakan cucu Pak Ahmad dan Mak Timah tetapi mereka bukannya adik beradik. Jeffri merupakan cucu sulung Pak Ahmad. Ayah Jeffri bernama Hashim sementara Haziq pula anak sulung daripada anak kedua Pak Ahmad, Hassan.
Ayah Jeffri, Hashim, merupakan anak sulong Pak Ahmad dan Mak Timah dan seorang doktor sementara ayah Haziq, Hassan pula seorang jurutera.
Pada cuti sekolah penggal ini, Jeffri dan Haziq pulang bercuti di kampong atuk dan nenek mereka . Mereka ingin membantu datuk dan nenek mereka mengutip dan menjual buah-buahan yang sedang masak di sekeliling rumah nenek mereka.
Rumah nenek mereka agak terpencil dari rumah-rumah orang lain di kampong itu.  Rumah nenek mereka dikelilingi dengan pokok-pokok buah-buahan seperti manggis, langsat, rambutan, limau, mata kuching, duku sementara di belakang rumah nenek mereka banyak pokok buah durian.
Seperti orang kampong yang lain, Pak Ahmad dan Mak Timah juga memelihara beberapa ekor binatang ternakan. Di sebelah kanan rumah mereka, terdapat kandang lembu, kambing dan juga reban ayam. Kawasan persekitaran itu kelihatan nyaman dan tenang. Pada waktu malam, keadaan di sekeliling rumah itu senyap sunyi dan yang kedengaran ialah bunyi cengkerik.
Pak Ahmad menutup peti television, sementara Jeffri dan Haziq menaiki tangga menuju ke bilik di atas rumah yang telah disediakan oleh nenek mereka. . Bilik itu sudah lama tak dihuni sejak makcik Halimah mereka berkahwin dan menetap di bandar. Bilik itu agak besar juga dan terdapat dua buah tingkap di bilik itu. Satu menghadap ke hadapan rumah dan satu tingkap pula mengadap ke tepi rumah mereka.Langsir tingkap bilik ditutup rapi. Tidak kelihatan apa –apa pun di luar.
 “Aku tidur kat tingkap,” kata Haziq yang setahun muda dari Jeffri.
“Kau tak takut. Nanti muncul muka kat tingkap tu,” usik Jeffri.
“Janganla..” kata Haziq.
Jeffri ketawa terkekek-kekek. “Penakut!” ejek Jeffri yang terus naik katil.
 Mereka baru saja mahu melelapkan mata apabila terdengar bunyi tapak kaki di atas bumbung. Mereka berpandangan antara satu sama lain.

Bunyi apakah itu...bersambung..

Saturday, January 22, 2011

Banyak betul soalannya...

Blog aku yang ni sunyi betul..Nantilah aku fikirkan macam mana aku nak lebih aktif kat blog ini.Hari ini aku nak cerita sikit pasal aktiviti aku dengan anak-anak aku sebelum waktu tidur. Selalunya aku akan habiskan masa dengan yang kecil dua orang tu lah.


Rutin kami setiap malam ialah aku kena bercerita dengan dia orang. Tak kisahlah cerita benar ke, cerita dongeng ke atau cerita rekaan aku. Janji cerita. Di sebabkan buku cerita dah habis baca, aku selalulah mereka cerita sendiri. Cerita aku tu kadang-kadang masuk akal dan kadang-kadang-tak masuk akal. 


Bila cerita tak masuk akal yang aku reka, banyaklah soal jawab dengan dia orang. Kadang-kadang sampai aku tak terjawab. Bila dah macam tu, aku jawab,"Esok kita sambung lagi. Sekarang tidur."

Tetapi anak lelaki aku kadang-kadang tak puas hati. Dia tanya bertubi-tubi sampai aku terpaksa mengubah cerita itu agar mereka boleh terima. Aku teringat, masa aku kecil-kecil dulu, bila nenek aku cerita, kami semua melopong. Tak soalpun logik tak logik. Apa yang di cerita, di terima bulat-bulat. Itu lah perbezaan antara budak sekarang dan budak zaman aku.



Zaman dulu kita di ajar jangan banyak soal. Dalam kelas pun, jangan banyak bercakap atau menyoal, guru marah mungkin itu sebab generasi aku takut takut nak bertanya atau buat presentation. Aku harap generasi sekarang taklah macam generasi aku. Biarlah anak-anak aku lebih berani di dalam kelas dan juga di hadapan kawan-kawan. Jangan jadi aku.


Okaylah cukup setakat ini aja. Aku akan cuba lebih kerap blogging kat sini...Jumpa lagi...salam..







Friday, January 14, 2011

Berani anak-anak sekarang!

Huh! Lama betul aku tak update blog ni. Bukan apa, aku agak sibuk sikit akhir-akhir ni. Apa taknya, aku pindah rumah dan juga sibuk dengan persiapan budak-budak sekolah. Lagi pun, Disember kan mood cuti, jadi otak aku pun slow sikitla.


Tahun ini, anak ketiga aku masuk darjah satu, Dia relax aja. Tak ada takutnya. Pada hari pendaftaran dan orientasi, anak akulah yang tak ready. Rambut panjang, pergi masuk kelas dengan bawa 2 batang pencil, 1 pemadam dan pembaris dan sekotak pensil warna. Tak ada bekas pensel.  Ini semua gara-gara pindah rumah seminggu sebelum sekolah mula. Semua barang dalam kotak. Nasib baiklah anak aku kaki lepak, tak kisah. Masuk dia dalam kelas, jawab soalan dan happy keluar. Tak takut. Aku tak adalah tunggu dia di tepi kelas. Aku sibuk dengar taklimat untuk ibu bapa.


Masa hari pertama, aku risau juga. Abang dia pergi tengok dia masa rehat. Pandai dia. Tak ada maasalah. Budak zaman sekarang ni memang tak takut. Kalau dulu, ramai ibu bapa yang duduk kat sekolah, duduk tepi tingkap tunggu anak, ramai budak-budak yang menangis takut tapi sekarang ni sikit sangat bilangan yang macam tu. Masing-masing dah sekurang-kurangnya dua tahun di taska. Tak jadi masaalah untuk anak-anak ini berinteraksi dan mencari kawan. Jauh bezanya sosial skill mereka kalau dibandingkan sepuluh tahun lalu.Budak-budak sekarang ini pun lagi advance daripada setengah-setengah kita ini. Dengan pendedahan pada internet, komputer dan tv, pemikiran mereka lebih matang. Tak macam zaman aku dulu. Apa yang ada hanya radio. TV tak ada.


Tetapi dengan pendedahan pada internet dan tv ini, kalau tidak di pantau akan boleh membawa masaalah sosial pada anak-anak kita. Sebagai ibu, rajin-rajinlah pantau penggunaan internet anak-anak kita.


Okaylah, sebelum aku lupa aku nak ucapkan Selamat Tahun Baru. Apa azam tahun baru anda? Sharelah.