Thursday, June 9, 2011

Biar mereka sayang menyayangi

Whoa...lebih dari seminggu aku tak update blog ni. Sibuk dengan hal anak-anak dan juga kerja. Minggu sudah, anak lelaki aku yang berumur 7 tahun tu, bersunat. Alhamdulillah, dah sihat. Dah mula nak berlari dan naik basikal.

Aku ingat dia akan merengek selalu dan terbaring aja, tapi tidak. Dia aktif. Balik saja dari hospital dia tak tidur atau baring. Sebaliknya, duduk depan tv, tengok tv dan main game.

Orang turun dia turun, orang naik, dia naik. Aku tanya, "Sakit tak?", dia jawab, "Sikit aja."

Yang buat aku senang sikit ialah abang-abang dia banyak membantu menolong menjaga dia. Bila dia buang air kecil, si abang yang berumur 11 tahun, tolong basuh dan lapkan biar kering.

Si abang yang sulung, tolong bubuh ubat dan si adik perempuan yang kecil pun nak tolong, tapi tak di beri. Marah dia.

Jadi bila aku mula kerja semula, masing-masing tahu macam mana nak jaga si adik ni. Itulah dia kerjasama. Macam bunyi wonder pet pula kan.  Aku berdoa anak-anak aku ini akan saling bantu membantu sampai lah mereka dewasa dan berkeluarga. Tolong dan bantu antara satu sama lain. Ialah bak kata perpatah, "air yang dicincang tak kan putus." atau dalam bahasa Inggeris, "Blood is thicker than water. Aku juga berdoa akan mereka tidak bermusuh antara satu sama lain. Amin


Aku rasa, untuk anak-anak kita bersatu dan saling membantu, sayang menyayangi, kita sebagai ibu dan bapa, harus berlaku adil. Sesiapa yang bersalah, dia lah yang patut di denda, bukan yang sulung atau orang lain. Kita juga tidak boleh berlaku tidak adil. 

Jika seorang dapat, semua mesti dapat. Tak boleh anak kesayangan kita mendapat lebih sebabnya, yang lain akan berasa kecil hati dan berdendam.Kita juga tidak boleh melebihkan dan memanjakan anak kesayangan kita, kerana ianya akan membawa banyak keburukan dari kebaikkan. 

Sebab apa banyak keburukkannya? Sebab anak itu tidak akan tahu menilai apa yang betul dan apa yang salah. Akhirnya, ianya akan menyusahkan anak itu sendiri dan juga kita sebagai ibubapa.

Oklah, aku beredar dulu. Sehingga berjumpa lagi...Salam.

r

Tuesday, May 24, 2011

Bila sudah dewasa, giliran kita jaga mereka

Pada hari Sabtu yang lepas, aku dapat pergi shopping dengan suami aku. Jarang dapat kami keluar berdua. Mesti ada yang mengikut kami. Tapi disebabkan kami hantar kereta servis, tak ada siapa yang nak ikut. Sementara menunggu kereta kami siap, kami pergi dulu ke KLCC.

Hehehe...boleh di katakan kami antara pengunjung yang terawal yang datang. Tempat yang mula-mula kami tuju ialah La Cucur. Minum pagi dulu sebelum merayau-rayau kat KLCC.

Selepas La Cucur, kami pun menuju ke Parkson sebab suami aku nak beli barang untuk anak-anak. Dah dapat semua untuk budak-budak, dia kata nak cari kasut untuk dia. Memang lama dah dia sebut nak beli, tapi tak beli-beli juga. 

Tak ada satu pun yang dia perkenan kat Parkson. Dia ajak aku ke Mark and Spencer. Wow! Besar biji mata aku bila dengar Mark and Spencer. Kami pun pergi bahagian kasut. Tak jumpa juga. Hmmm.. dah agak dah, mesti tak perkenan.

Alang-alang dah sampai kat Mark and Spencer, aku pun ambil lah satu barang untuk aku. Tak payahlah cakap apa dia. Dari Mark and Spencer, pergi pula ke Isetan. Ishh! Aku dah mula penat tapi ikut juga.

Lama kat Isetan. Lepas satu-satu tapi tak ada juga yang perkenan kat dia. Sambil menunggu dia aku duduk melihat gelagat pembeli lain. Dalam ramai-ramai, aku terpandang pasangan tua ini sedang memilih kasut. Si isteri duduk sebelah suami dan memberi pandangannya. 

Sedang mereka memilih, tiba-tiba muncul si anak bujangnya. Rupa-rupanya si anak membelikan si ayah kasut. Si anak pun memberi pendapatnya tentang kasut yang di beli si ayah. 

Senario yang aku lihat membuat aku terfikir, masa kecil-kecil dulu si mak dan ayah pilihkan dan belikan untuk kita. Bila kita dah besar dan bekerja, giliran kita pula belikan untuk orang tua kita. Bukan itu sahaja, menjaga orang tua kita pun adalah satu tanggung jawab kita kan.

Betulkan? Tapi aku kadang-kadang lupa tanggung jawab aku terhadap orang tua aku kerana kesibukkan dengan kerja dan anak-anak. Sementara aku teringat ni, baik aku call mak aku. 

Oh ya! melalut pulak aku.Selepas lama menunggu dan memberi idea dan komen, akhirnya suami aku kata, "Tak apalah. I tau kat mana nak beli." Jawapan aku, "Hmmmm...as expected."

Okay. Aku pergi dulu. Salam

Monday, May 9, 2011

Simpan jangan tak simpan..

Ah! Aku agak sibuk sejak akhir-akhir ini. Maklumlah sejak kawan sepejabat aku berhenti, kerja dia aku kena buat. Perghhh....bukan senang kerja dia. Ialah dia jaga finance dan budget untuk department ini. Tapi apa nak buat, dia nak sambung belajar tak bolehlah nak pujuk suruh dia jangan berhenti.

Aku tak tahu sampai bila aku kena buat benda ini. Aku dah beritahu boss aku sebelum kawan aku pergi yang aku tak nak buat budget. Stressful aku. Dulu aku dah buat. Tiga bulan lamanya dan selama tiga bulan itu hidup aku tak tentu haluan. Nampaknya, ianya berulang lagi.

Minggu sudah, kuranglah orang yang mencari aku, tapi pagi ini, melambak e-mel tanya pasal budgetla, reforecastlah...rasa nak muntah aku tengok benda tu. Yang lebih buat aku tension bila ada orang nak informasi masa tu juga. Macamlah aku buat benda-benda itu sebelum ni.

Bila dah tua-tua  macam ni, aku rasa nak duduk rumah aja dan buat apa yang aku suka. Tapi apakan daya, anak-anak masih kecil. Kenalah berkerja lebih untuk mereka. Bukan untuk kesenangan sangat tapi sekurang-kurangnya, ada sedikit simpanan untuk kegunaan mereka bila hendak menyambung pelajaran.

Bercakap pasal menyimpan, aku selalu beritahu anak aku, jangan suka berbelanja sesuka hati. Duit yang lebih masuk tabung. Aku tak suka anak-anak aku beli gula-gula atau makanan ringan.

Kalau dulu, mereka nampak duit syiling, buat tak tahu aja tapi sekarang pantang nampak duit syiling, dia orang ambil lah masuk tabung mereka. Ada sekali, habis duit syilling aku dia orang ambil. Bagus juga tu, tak adalah berat beg aku.

Okaylah, sebelum aku pergi, menabung ni bukan untuk anak-anak kecil. Ia juga amat berguna untuk kita yang berkerja ini. Bak kata pepatah, 'Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit'.

Tak perlu simpan banyak-banyak. RM10 sebulan pun sudah memadai. Bila sesak-sesak ada juga tempat kita boleh korek..tapi jangan asyik mengorek aja. Nanti habuk pun tak ada...

Okayla...pesanan ku, simpan jangan tak simpan....salam.

Tuesday, April 26, 2011

Aku terkilan....

Pagi kelmarin, aku dapat berita yang amat menyedihkan. Bekas kawan sepejabat aku telah kembali ke rahmatullah pada hari Ahad. Arwah telah menghidap barah payu dara tahap 3.

Arwah sedang menjalani rawatan kemotegraphi sebelum doktor melakukan pembedahan. Malangnya belum pun sempat pembedahan di buat, beliau telah terlebih dahulu pergi meninggalkan dunia ini.

Aku sebenarnya terkilan sebab tidak sempat melawat arwah semasa di dalam hospital. Semasa arwah menjalani rawatan, aku agak sibuk dengan mak aku yang juga menghidap penyakit yang sama.

Aku hanya sempat berkirim salam pada arwah melalui kawan serumah ku dulu. Dia sempat berjumpa arwah dua kali dan juga sempat berbual dengan arwah pada minggu lepas.

Sepanjang aku mengenali arwah ini, dia seorang yang baik dan merendah diri. Arwah datang dari golongan berada tetapi beliau tidak pernah menunjuk statusnya itu. Masa aku mula-mula kenal dia, aku ingat dia seperti kita, tetapi setelah beberapa bulan baru aku tahu yang dia ini memang anak orang kaya.

Aku juga dapat tahu yang arwah seorang anak yang taat pada ibunya. Dia akan mengikuti kehendak ibunya walaupun dia tidak setuju dengan ibunya. Mungkin sebab itu, Allah lebih menyayangi beliau dan menjemputnya dahulu.

Azizah, aku doakan agar rohmu berada di kalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah.... 

Monday, April 18, 2011

Bilik air mana nak pergi ni?

Pada hari Sabtu lepas, aku dan keluarga aku pergi majlis kenduri kahwin anak lelaki kawan aku. Hujan hari itu. Sejuk. Begitu jugalah di harap perkahwinan mereka berkekalan ke anak cucu.


Lepas kenduri, kami pergi ke Mid-valley. Lama betul aku tak bawa keluarga aku ke sana. Bukan apa, hujung minggu memang sibuk aja tambahan aku tak ada pembantu rumah.


Biasalah bila dah lama kat tempat membeli belah, mestilah kita nak guna bilik airkan. Mula-mula anak lelaki aku pergi. Tiga-tiga pergi masuk bilik air yang ada kat Mid-Valley. Aku tak tahu keadaan bilik air kaum lelaki kat sana. Aku lepaskan mereka pergi.


Tak lama tu, anak perempuan aku pula nak masuk bilik air. "Hmmm...kat mana nak pergi ni," kata aku. Bukan apa aku cuba elakkan bilik air yang disediakan. Sebabnya ialah


1) Bilik air basah. Ini yang aku kurang selesa. Kalau masuk, kena angkat kain atau seluar kalau tak basah lah.
2) Bilik air bersih tapi ada sedikit bau walaupun di cuci banyak kali. Aku pun pelik kenapa boleh jadi macam ni. Adakah pernggunaan bahan cucian yang kurang bermutu? Wallahualam.
3) Tempat duduk kotor. Aku cukup bengang kalau tempat duduk dia ada bekas tapak kasut. Tak tahu manusia mana yang mengcangkung kat atas jamban tu. 
4) Tak ada kertas tisu atau sabun. 


Memikirkan perkara di atas, aku pun cakap kat suami aku, aku nak ke Garden. Nak pergi toilet kat Garden. Aku tak cakap pun aku nak pergi yang berbayar punya.


Bila sampai Gardern, aku pun bawa anak perempuan aku ke bilik air yang berbayar tu. Bayar RM5.00 aku puas hati. Bilik air bersih, dan selesa nak guna. Tak ragu-ragu. Pas tu, di sediakan pula tuala tangan.


Komen anak perempuan aku sebelum keluar, "Bilik air ini bestkan ibu, macam hotel. Bersih." Itu dia kata-kata yang keluar dari mulut seorang anak lima tahun yang dapat membandingkan bilik air bersih, selesa dengan bilik air bersih tetapi kurang selesa.


Aku rasa penggunaan dan penjagaan bilik air ini, kena tanam dari kecil. Kita sebagai ibu dan orang dewasa kenalah ajar anak-anak ini tentang kebersihan bilik air itu kerana kebersihan itu tanggung jawab bersama. Betul tak?

Thursday, April 14, 2011

Bila Tayar Bergoyang....

Pada petang Selasa lalu, hari hujan. Huh! Aku balik agak awal dari biasa sebab hari itu 'Birthday' aku. Ingatkan boleh sampai awal tapi al maklumlah, KL kalau hujung memang tersangkut dalam kesesakan lalu lintas la.


Bila hari hujan semua orang bawa kereta perlahan. Berhati-hati. Jarang yang memandu dengan laju. Manalah tahu kalau laju nanti tak sempat nak elak lobang besar yang penuh dengan air. Terjerumus tayar dalam lobang besar pulak nanti.Susah. Nak sampai cepat langsung lambat.


Dalam aku memandu perlahan-lahan itu, adalah sebuah kereta yang agak tualah. Macam mana aku boleh kata tua sebab nombor plate kereta dia ada dua alphabet dan bermula dari huruf...jeng..jeng..jeng...'W'.


Aku tak tahu lah samada pemandu kereta tu perasan. Tayar belakang sebelah kiri kereta dia bergoyang sebab skru dia tak ketat. Aku yang ikut belakang dia risau mana tau tayar dia tercabut.


Bayangkan bila tayar dia tercabut, apa yang berlaku. Pertama, tayar tu akan bergolek sama ada arah ke depan atau ke belakang. Tayar tu boleh kena pada kenderaan lain, kan? Kalau kereta tak apa juga tapi bayarkan kalau kena penunggang motosikal. Boleh terbang penunggang motosikal.


Kedua, kereta tu mesti terhempas kat jalan raya. Aku yang ikut kat belakang aku menghentam kereta itu kan. Heh! Kereta dia rosak, kereta aku juga rosak dan mungking beberapa buah kereta yang lainkan. Bertambahlah kesesakan jalan raya lagi bila berlaku kemalangan.


Sebab itu, kita kenalah jaga dan selenggara kereta kita. Bukan lanyak aja. Kereta kita pun nak dalam keadaan tip-top , bersih dan selamat juga. Macamlah kita manusia, kalau kesihatan tak di jaga, mesti tak larat kan? Silap hari bulan, masa jalan pun boleh tumbang.


Jadi jagalah kesihatan kita dan juga jagalah kereta kita supaya tiada kemalangan berlaku.



Friday, April 8, 2011

Pergilah periksa sebelum terlambat!

Minggu ni terlewat sikit nak post kat blog ini. Sepatutnya aku nak postkan update pada hari Isnin tapi disebabkan oleh beberapa sebab baru hari ini aku boleh. 


Bukan apa, pada hari Isnin hari itu, aku cuti. Asalnya nak bawa mak aku pergi Hospital Pantai tapi bila aku sampai rumah adik aku, dia tak jadi pergi sebab dia kata buang duit saja.


Heh! Mak aku ada kanser payu dara. Dia suruh aku rasa tempat yang ada ketumbuhan itu. Memang betul, terasa dan agak besar jugalah. Memandangkan aku dah tak jadi pergi hospital, aku duduk layan mak aku sampai tengahari.


Pukul 12 tengahari, kamipun pergi makan kat Chili di Mid Valley. Seronok aku tengok dia makan walaupun dalam kegirangan itu, aku teringat arwah ayah aku yang memang suka makan makanan western.


Aku habiskan sehari dengan mak aku dan aku hantar dia balik ke Seremban kerana pada hari Selasa tu dia ada temujanji dengan doktor kat Putrajaya.


Sah bila kakak aku hantar, doktor akan lakukan pembedahan pada mak aku pada hari Sabtu ni. Habis di buang walaupun belum tahap kritikal sebab doktor kata jika buang semua tak perlu buat 'chemo'.


Bila aku fikirkan semula, kanser ini dah macam satu kebiasaan. Ramai yang aku kenal pernah menghidap kanser. Ada yang dapat mengalahkannya dan ada juga yang kecundang. Ngeri bila mendengar seseorang kena. 


Memandangkan kedua-dua orang tua aku penghidap kanser, aku dan adik-beradik aku lebih berhati-hati sekarang. Kami dah berada dalam golongan risiko tinggi dan kami  kena buat buat pemeriksaan kesihatan dan mammogram setiap tahun. Huh! Tak boleh ambil ringan sekarang.


Aku juga sarankan, semua kaum wanita tak kira umur dan bangsa, pergilah buat pemeriksaan kesihatan ini. Jangan malu dan jangan takut habis duit. Penyakit dan kanser tak kira itu semua. Ianya  boleh menyerang kita tanpa kita sedari. Pergilah ya!!


Sebelum aku pergi, di doakanlah mak aku selamat semasa dan selepas pembedahan nanti. Jumpa lagi minggu depan.


Salam.