Monday, March 21, 2011

Sedarlah sebelum terlambat

Petang semalam, aku duduk berborak dengan seseorang yang agak rapat dengan aku. Aku kesian dengan dia. Adakah patut seorang anak melalukan perkara begitu pada si ibu.

Lupakah si anak bahawa kita kena menghormati si ibu? Sekaya mana pun kita, secantik mana pun kita dan seburuk mana pun ibu kita, kita mesti menghormati si ibu kerana syurga di tapak kaki ibu.

Aku juga percaya jika kita bebuat baik kita akan dibalas dengan kebaikan dan jika kita berbuat jahat, nescaya kita juga akan di balas setimpal dengan apa yang kita lakukan. Tiada siapa yang lebih henat atau kebal di dunia ini melainkan Allah.

Aku juga percaya bahawa kita tidak perlu membeli persahabatan dan sokongan dengan wang ringgit. Adakah dengan menghulur wang pada semua orang yang kita suka kita akan mendapat sokongan dan persahabatannya? Belum tentu lagi bukan. Yang penting dalam persahabatan ialah jujur, prihatin dan pengurbanan.  Itu adalah amat bererti. Bukan wang ringgit. 


Wahai si anak, ingatlah, jika Allah hendak mengambil kekayaan kita, kecantikkan kita hanya sekelip mata. Sedarlah! Minta maaflah pada si ibu. Jangan jadi anak durhaka..itu saja pinta ku.

Sekian...wassalam.



Wednesday, March 16, 2011

Sayang sayang juga, pantau-pantau juga

Hari ini aku cuti. Saja aja sebab nak habiskan masa bersama anak-anak. Lagi pun cuti sekolah. Budak-budak ni boring tinggal dia orang saja. Jadi bila aku cakap aku nak cuti, bukan main gembira dia orang.


Sebenarnya tak ada ke mana pun. Iyalah, si ayahnya bekerja jadi kami ronda-ronda sekitar Kajang, Bangi dan Putrajaya. Mula-mula ke Kajang, ambil si abang yang sulung balik dari tuisyen matematik.


Masa pergi ambil, waktu tengah hari, jadi makan tengahari terus kat Saujana Impian. Kesian bila tengok apa yang kami makan. Budak-budak ni ambil nasi dan sup ayam. Kuah aje, ayamnya dah habis. Maknya macam tu juga. Ambil lah seekor ikan sambal. Walaupun sup kosong, berselera dia orang tu makan.


Pastu kami pergi lah ke Alamanda. Kosong aja parking Alamanda. Almaklumlah cuti sekolah dan waktu bekerja. Heh! Kami pergi main boling. Yang lucunya, tak tahu kat mana tempat boling tu. 


Orang kata malu bertanya sesat jalan jadi kami tak malulah. Tanya orang yang kerja kat situ dan di tunjukkanlah tempat boling tu. Huh! Penuh! Ramai betul. Yang datang ngan mak bapak dan ada yang datang sama-sama mereka.


Kami dapatlah lane yang hujung sekali. Budak-budak ini tak pernah main jadi dapat tepi tu amatlah mereka suka. Nasib baik ada pagar yang melindungi bola tu dari jatuh ke longkang. Kalau tak semua kosonglah markah mereka.


Masa main tu, aku perhatikan budak-budak bawah 12 tahun ramai yang berkeliaran bersama-sama mereka. Ada yang main dan ada yang tengok aja. Aku terpikir, mak bapa dia tak takut ke lepaskan anak macam tu aja. Mungkin dah biasa kot bebas. Aku pasang jugalah telinga dan dari cara dia orang bercakap tu, hmmm...kurang enak bahasa yang di guna.


Aku bukan apa, walaupun anak sulung aku tu dah bujang, aku masih pantau dia. Facebook dia aku masuk tengok apa yang dia tulis. Yalah kadang-kadang budak-budak ni, depan mak bapak pijak semut tak mati tapi belakang kita pergh!!! tak boleh di bayangkan.


Sebagai ibu-bapa kita harus peka semua tentang anak kita. Ada kawan aku tu bila dia tengok anak dia tulis sesuatu yang tak elok dekat FB, terus dia tegur dan dia larang anak dia untuk sekita dari masuk FB. Bukan kongkong tapi sekadar memantau mereka.


Okaylah...aku minta diri dulu...sekian salam.

Thursday, March 10, 2011

Hargai masa bersama anak-anak

Hari tu aku janji tak nak abaikan blog ini tapi apakan daya aku agak sibuk ngan kerja dan juga blog Inggeris aku. Hari ini aku balik awal jadi aku jenguklah kat sini. Bukan selalu aku balik awal.


Entah kenapa sejak akhir-akhir ini aku rasa kurang sihat. Badan aku lemah-lemah  semacam tak bermaya. Mungkin stress ke atau aku dah burned out. Wallahuallam. Aku harap ia keadaan sementara aja.


Aku dah dekat dua bulan duduk rumah baru aku kat Bangi. Masih banyak yang nak kena buat. Barang-barang pun masih banyak yang nak kena beli sebab barang rumah dulu tu dah buruk dan usang. Rumah aku boleh dikatakan masih kosong.


Duduk kat sini, pergi kerja pun cepat sikit. Kurang kesesakkan lalulintas. Bila balik awak, aku dapat bersama anak-anak aku baca Yassin. Seronok rasanya. Dulu masa di Kajang agak susah nak dapat masa begini. Kalau aku balik awal pun, kadang-kadang suasana dalam rumah yang serabut tu membuat aku kurang mahu membaca bersama mereka. Tapi, alhamdulillah di sini lain sikit. Aku harap ianya berkekalanlah.


Aku rasa penting  untuk kita luangkan masa dengan anak-anak. Mereka perlukan tunjuk ajar dan kasih sayang dari kita. Tak guna bagi kemewahan jika dia orang tidak dapat menilainya. Aku tak mahu anak-anak aku mendapat barang yang mereka kehendaki tanpa berusaha. Biar mereka tahu betapa susahnya nak dapatkan sesuatu.


Yang besar-besar dah faham dah. Hanya tinggal sekenit berdua ini yang pada mereka apa yang dia orang nak, ibu kena beri. Heh! Aku tak layan. Lakukan dulu apa yang aku suruh baru dapat. Macam ni baru dia tahu macam mana nak menghargai sesuatu barang tu.


Okayla..aku minta diri dulu. Insyallah aku akan cuba mengupdatekan blog ini seminggu sekali...sekian. Salam,

Friday, February 11, 2011

Misteri Kotak Hitam #2

“Bunyi apa tu?” bisik Haziq pada Jeffri perlahan. Dia merapatkan badannya pada Jeffri.
“Tak tahu,” jawab Jeffri.
Mereka cuba mendengar lagi bunyi itu tetapi tidak tidak kedengaran. Haziq menarik kain selimutnya dan menutup mukanya..
“Kuching agaknya,” kata Jeffri. “Tidurlah.”
“Aku takut,” jawab Haziq.
“Tak ada apalah. Baca Bismillah dan ayat 3 Qul,” kata Jeffri.
Haziq membaca ayat-ayat yang disuruh. Tetapi dia masih merasa seram tetapi di lawannya perasaan takutnya itu. Jeffri mengiring mengadap pintu. Haziq merapatkan badannya pada Jeffri.
“Eh! Apa ni?”
Haziq diam tidak menjawab. Dia menutup matanya rapat-rapat dan terus membaca ayat-ayat yang disuruh itu.  Setelah beberapa ketika, rasa seramnya hilang dan dia kemudian terus tertidur. Kedua-dua mereka terlena dan pada tengah malam, tiba-tiba katil mereka di goncang. Jeffri dan Haziq terjaga. Mereka memasang lampu tidur di tepi katil. Tiada apa yang kelihatan.  Semua seperti biasa.
Haziq betul-betul takut kali ini. Degupan jantungnya kuat. Kedua-dua belah tangannya sejuk. Sementara Jeffri tidak menunjukkan sebarang reaksi pun. Seolah-olah kejadian itu hanya satu illusi saja.
“Jeffri, kau rasa tak?” tanya Haziq.
“Ada. Kau buat apa sampai bergoncang katil?”
“Tak ada apa. Aku tengah tidur. Kau tak?”
“Tak lah. Aku pun tidur juga,” kata Jeffri.
Setelah pasti tiada apa yang mengacau mereka, mereka menyambung tidur semula. Tetapi kali ini mereka di kejutkan dengan bunyi bising di atas bumbung seperti ada orang sedang berjalan di atas bumbung.  Kali ini Haziq memeluk Jeffri dan badannya mengigil ketakutan.
Jeffri juga berasa takut. Mereka bangun dari katil terus lari keluar dari bilik dan menuju bilik atuk mereka.
“Tok! Tok! Buka pintu,” kata mereka sambil mengetuk pintu bilik atuk mereka.
Pak Ahmad bangun dan membuka pintu bilik. Dia kehairanan melihat anak cucunya pucat dan ketakutan.
“Kenapa ni Jeffri, Haziq?” tanya Pak Ahmad.
“Kami dengar bunyi orang berjalan kat atas bumbung,” jawab Jeffri.
“Ya, tuk! Haziq takut. Boleh tidur dengan atuk tak?”
“Bunyi apa? Di mana?” tanya atuknya lagi seperti tidak percaya dengan apa yang di dengarnya..
“Bunyi orang jalan tuk, di atas bumbung. Betul-betul macam di atas bilik kami,” jelas Haziq.
“Heh! Entah-entah perasaan kamu aja tak? Kan tadi kau takut tengok cerita tv tu?”
“Tak tok. Ini betul punya. Mula-mula Haziq dengar dia jalan, lepas tu katil kami kena goncang dan akhir sekali bunyi jalan dekat atas bumbung.”
Atuk mereka mengelenggkan kepalanya. Selama 45 tahun duduk di rumah ni, tiada apa pun yang di rasainya. Dia merasakan anak cucunya merindui bantal dan katil mereka sendiri.
“Baiklah. Mari atuk temankan kau orang tidur di atas. Atuk pasti tak akan ada apa-apa yang berlaku.”
Mereka pun kembali ke bilik. Kali ini Haziq tidur di tengah-tengah di apit oleh Jeffri dan Pak Ahmad. Dia berasa selamat kerana atuknya tidur bersama mereka. Tanpa di sedari oleh mereka, ada sepasang mata memerhati mereka.

Wednesday, February 9, 2011

Misteri Kotak Hitam

Bab 1

“Aarggghhh,” jerit Haziq ketakutan. Dia mendekatkan badannya pada datuknya, Pak Ahmad.
“Ishhh! Penakut rupanya kau ni. Anak lelaki apa macam ni?” kata Pak Ahmad.
Haziq diam sahaja sementara Jeffri yang duduk bertentangan Haziq tersengih mendengar kata-kata atuknya. Haziq mencapai kusyen dikerusi sebelah dan memeluknya. Sekali sekala dia akan menutup mukanya dengan kusyen itu. Melihat gelagat Haziq itu, Jeffri ketawa besar. Pak Ahmad juga tersengih melihat kerenah Haziq itu.
“Pergi masuk tidurlah Haziq,” suruh Pak Ahmad.
“Tak nak. Haziq nak tenguk cerita ni.”
“Kan kau mimpi kan susah pulak,” kata Pak Ahmad.
Haziq tidak memperdulikan atuknya dan Jeffri. Dia meneruskan menonton cerita itu walaupun dia takut.Setelah tamat cerita hantu itu, Jeffri dan Haziq pun bangun untuk masuk tidur di bilik yang terletak di bahagian atas rumah mereka. Jeffri yang melihat Haziq takut mengusik Haziq.
Jeffri dan Haziq merupakan cucu Pak Ahmad dan Mak Timah tetapi mereka bukannya adik beradik. Jeffri merupakan cucu sulung Pak Ahmad. Ayah Jeffri bernama Hashim sementara Haziq pula anak sulung daripada anak kedua Pak Ahmad, Hassan.
Ayah Jeffri, Hashim, merupakan anak sulong Pak Ahmad dan Mak Timah dan seorang doktor sementara ayah Haziq, Hassan pula seorang jurutera.
Pada cuti sekolah penggal ini, Jeffri dan Haziq pulang bercuti di kampong atuk dan nenek mereka . Mereka ingin membantu datuk dan nenek mereka mengutip dan menjual buah-buahan yang sedang masak di sekeliling rumah nenek mereka.
Rumah nenek mereka agak terpencil dari rumah-rumah orang lain di kampong itu.  Rumah nenek mereka dikelilingi dengan pokok-pokok buah-buahan seperti manggis, langsat, rambutan, limau, mata kuching, duku sementara di belakang rumah nenek mereka banyak pokok buah durian.
Seperti orang kampong yang lain, Pak Ahmad dan Mak Timah juga memelihara beberapa ekor binatang ternakan. Di sebelah kanan rumah mereka, terdapat kandang lembu, kambing dan juga reban ayam. Kawasan persekitaran itu kelihatan nyaman dan tenang. Pada waktu malam, keadaan di sekeliling rumah itu senyap sunyi dan yang kedengaran ialah bunyi cengkerik.
Pak Ahmad menutup peti television, sementara Jeffri dan Haziq menaiki tangga menuju ke bilik di atas rumah yang telah disediakan oleh nenek mereka. . Bilik itu sudah lama tak dihuni sejak makcik Halimah mereka berkahwin dan menetap di bandar. Bilik itu agak besar juga dan terdapat dua buah tingkap di bilik itu. Satu menghadap ke hadapan rumah dan satu tingkap pula mengadap ke tepi rumah mereka.Langsir tingkap bilik ditutup rapi. Tidak kelihatan apa –apa pun di luar.
 “Aku tidur kat tingkap,” kata Haziq yang setahun muda dari Jeffri.
“Kau tak takut. Nanti muncul muka kat tingkap tu,” usik Jeffri.
“Janganla..” kata Haziq.
Jeffri ketawa terkekek-kekek. “Penakut!” ejek Jeffri yang terus naik katil.
 Mereka baru saja mahu melelapkan mata apabila terdengar bunyi tapak kaki di atas bumbung. Mereka berpandangan antara satu sama lain.

Bunyi apakah itu...bersambung..

Saturday, January 22, 2011

Banyak betul soalannya...

Blog aku yang ni sunyi betul..Nantilah aku fikirkan macam mana aku nak lebih aktif kat blog ini.Hari ini aku nak cerita sikit pasal aktiviti aku dengan anak-anak aku sebelum waktu tidur. Selalunya aku akan habiskan masa dengan yang kecil dua orang tu lah.


Rutin kami setiap malam ialah aku kena bercerita dengan dia orang. Tak kisahlah cerita benar ke, cerita dongeng ke atau cerita rekaan aku. Janji cerita. Di sebabkan buku cerita dah habis baca, aku selalulah mereka cerita sendiri. Cerita aku tu kadang-kadang masuk akal dan kadang-kadang-tak masuk akal. 


Bila cerita tak masuk akal yang aku reka, banyaklah soal jawab dengan dia orang. Kadang-kadang sampai aku tak terjawab. Bila dah macam tu, aku jawab,"Esok kita sambung lagi. Sekarang tidur."

Tetapi anak lelaki aku kadang-kadang tak puas hati. Dia tanya bertubi-tubi sampai aku terpaksa mengubah cerita itu agar mereka boleh terima. Aku teringat, masa aku kecil-kecil dulu, bila nenek aku cerita, kami semua melopong. Tak soalpun logik tak logik. Apa yang di cerita, di terima bulat-bulat. Itu lah perbezaan antara budak sekarang dan budak zaman aku.



Zaman dulu kita di ajar jangan banyak soal. Dalam kelas pun, jangan banyak bercakap atau menyoal, guru marah mungkin itu sebab generasi aku takut takut nak bertanya atau buat presentation. Aku harap generasi sekarang taklah macam generasi aku. Biarlah anak-anak aku lebih berani di dalam kelas dan juga di hadapan kawan-kawan. Jangan jadi aku.


Okaylah cukup setakat ini aja. Aku akan cuba lebih kerap blogging kat sini...Jumpa lagi...salam..







Friday, January 14, 2011

Berani anak-anak sekarang!

Huh! Lama betul aku tak update blog ni. Bukan apa, aku agak sibuk sikit akhir-akhir ni. Apa taknya, aku pindah rumah dan juga sibuk dengan persiapan budak-budak sekolah. Lagi pun, Disember kan mood cuti, jadi otak aku pun slow sikitla.


Tahun ini, anak ketiga aku masuk darjah satu, Dia relax aja. Tak ada takutnya. Pada hari pendaftaran dan orientasi, anak akulah yang tak ready. Rambut panjang, pergi masuk kelas dengan bawa 2 batang pencil, 1 pemadam dan pembaris dan sekotak pensil warna. Tak ada bekas pensel.  Ini semua gara-gara pindah rumah seminggu sebelum sekolah mula. Semua barang dalam kotak. Nasib baiklah anak aku kaki lepak, tak kisah. Masuk dia dalam kelas, jawab soalan dan happy keluar. Tak takut. Aku tak adalah tunggu dia di tepi kelas. Aku sibuk dengar taklimat untuk ibu bapa.


Masa hari pertama, aku risau juga. Abang dia pergi tengok dia masa rehat. Pandai dia. Tak ada maasalah. Budak zaman sekarang ni memang tak takut. Kalau dulu, ramai ibu bapa yang duduk kat sekolah, duduk tepi tingkap tunggu anak, ramai budak-budak yang menangis takut tapi sekarang ni sikit sangat bilangan yang macam tu. Masing-masing dah sekurang-kurangnya dua tahun di taska. Tak jadi masaalah untuk anak-anak ini berinteraksi dan mencari kawan. Jauh bezanya sosial skill mereka kalau dibandingkan sepuluh tahun lalu.Budak-budak sekarang ini pun lagi advance daripada setengah-setengah kita ini. Dengan pendedahan pada internet, komputer dan tv, pemikiran mereka lebih matang. Tak macam zaman aku dulu. Apa yang ada hanya radio. TV tak ada.


Tetapi dengan pendedahan pada internet dan tv ini, kalau tidak di pantau akan boleh membawa masaalah sosial pada anak-anak kita. Sebagai ibu, rajin-rajinlah pantau penggunaan internet anak-anak kita.


Okaylah, sebelum aku lupa aku nak ucapkan Selamat Tahun Baru. Apa azam tahun baru anda? Sharelah.